Selasa, 3 Februari 2015 | 11:01am

RM126.5 juta, Cuadrado jadi milik Chelsea


AKSI pemain kebangsaan Colobia, Juan Cuadrado (kanan) ketika beraksi bersama Fiorentina di Serie A Itali menentang kelab AS Roma. Cuadrado kini beraksi bersama Chelsea. - Foto EPA

LONDON: Chelsea berbelanja paling besar ketika jendela perpindahan Januari ditutup, semalam dengan membawa pemain sayap Colombia, Juan Cuadrado ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dari kelab Itali, Fiorentina.

Pengurus The Blues, Jose Mourinho sudah dikaitkan dengan perpindahan Cuadrado sejak beberapa minggu lepas dan sasarannya itu tiba ke Stamford Bridge bagi menggantikan tempat pemain Jerman, Andre Schuerrle yang dijual ke kelab Bundesliga, Wolfsburg.

Cuadrado, 26 menandatangani kontrak selama empat setengah tahun bersama kelab Barat London itu dan mengakui teruja dengan penghijrahannya.

"Saya amat gembira dan berterima kasih untuk peluang yang diberikan ini. Ini adalah kelab yang hebat dan secara jujurnya, adalah seperti mimpi untuk menyertai keluarga Chelsea dan tahu pengurus mempercayai saya.

"Saya gembira," katanya.

Bintang Piala Dunia Colombia, Cuadrado berada di Fiorentina sejak 2012 selepas berhijrah daripada Udinese namun watak pentingnya ketika di Brazil, tahun lepas dengan membawa Colombia ke suku akhir membuka mata dunia.

Perpindahannya ke Chelsea dilaporkan bernilai sekitar STG23.3 juta (RM126.5 juta) dan berkemungkinan meningkat sehingga STG26.8 juta (RM145.5 juta).

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, pemain Chelsea dari Mesir, Mohamed Salah akan menyertai Fiorentina secara pinjaman sehingga penghujung musim ini.

Seorang lagi pemain yang keluar daripada The Blues ialah Ryan Bertrand yang sebelum ini dipinjamkan ke Southampton namun diubah kepada perpindahan kekal dengan yuran bernilai sekitar STG10 juta (RM54.3 juta).

Begitupun, perpindahan terbesar yang dilaporkan secara rasmi pada jendela perpindahan Januari di EPL menjadi milik Manchester City yang membawa masuk penyerang, Wilfried Bony dari Swansea dengan nilai STG25 juta (RM 135.7 juta). - AFP

Berita Harian X