Isnin, 2 Februari 2015 | 6:28pm

Polis tumpas sindiket palsu kad kredit, dua ditahan


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mortadza Nazarene (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian kad kredit yang dirampas pada sidang media, di IPK Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan sindiket pemalsuan kad kredit berpangkalan di Tawau yang digunakan untuk membeli barangan berjenama di luar negara sebelum dibawa balik ke Malaysia dan dijual semula di pasaran gelap.

Ia susulan serbuan sepasukan anggota polis di sebuah hotel di Bandar Tawau pada 20 Januari lalu yang menyaksikan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 43 tahun ditahan, selain polis merampas 307 kad kredit palsu.

Turut dirampas dua mesin cetak kad kredit, sebuah mesin kad kredit untuk mencetak hologram, sebuah penyiring kad (skimmer), komputer riba, kad pengenalan milik warga Singapura, tiga telefon bimbit dan satu plastik berisi syabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mortadza Nazarene, berkata sindiket terbabit dipercayai mencuri data peribadi individu pengguna kad kredit, lazimnya dilakukan di kompleks beli-belah oleh pekerja dan jurujual tidak bertanggungjawab.

"Sindiket ini turut membuat kad kredit palsu dengan cara mencuri data peribadi pelanggan bank tertentu dan pusat kad kredit.

"Mereka lazimnya menggunakan kad kredit palsu itu di luar negara untuk membeli barang berjenama termasuk barang kemas dan jam tangan, sebelum dibawa balik ke Malaysia untuk dijual di pasaran gelap.

"Hasil jualan ini dipercayai diagihkan dalam kalangan ahli sindiket. JSJK sudah mewujudkan pasukan khas untuk memantau operasi ini termasuk bekerjasama dengan syarikat pengeluar kad kredit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Mortadza berkata, dua suspek berkenaan ditahan ketika mencetak kad kredit di sebuah hotel di bandar Tawau dan polis turut menemui 141 kad kredit palsu bersama mereka.

"Hasil penangkapan dua suspek terbabit, polis menyerbu sebuah rumah di Tawau dan menemui 118 lagi kad kredit palsu dalam kediaman itu selain merampas 48 keping lagi dalam sebuah kenderaan jenis FJ Cruiser," katanya.

Berita Harian X