Ahad, 1 Februari 2015 | 5:01pm
REAKSI penyerang Diego Costa ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga menentang Liverpool di Stamford Bridge, pada Selasa. - Foto Reuters

Saya 'bukan malaikat', protes Costa

LONDON: Penyerang Chelsea, Diego Costa menyifatkan dirinya 'bukan malaikat' sambil menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan dalam insiden yang membawa kepada penggantungan tiga perlawanan.

Peledak berusia 26 tahun itu digantung tiga perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) selepas didapati bersalah atas kelakuan ganas kerana dikatakan sengaja memijak kaki pemain Liverpool, Emre Can pada aksi separuh akhir Piala Liga, Selasa lepas.

Costa yang dijatuhkan hukuman pada Jumaat dan terlepas aksi menentang Manchester City, semalam menerima hukuman itu namun menegaskan tidak berniat untuk mencederakan Can.

"Apa yang berlaku pada Selasa, perkara yang paling utama ketika saya pulang ke rumah ialah saya tidak dapat tidur kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan, kerana saya tidak pernah berniat untuk melakukannya dan ia tidak sengaja," kata Costa.

"Dan kamu dapat melihat dengan jelas perkara itu di video. Namun ia adalah penggantungan. Jelas saya merasa sedih kerana saya tidak mampu membantu pasukan. Namun saya perlu menerimanya dan menghormatinya.

"Saya tidak mengatakan saya adalah malaikat. Saya bukan malaikat. Kamu dapat melihatnya. Namun setiap kali saya bermain, saya bermain dengan cara sama kerana itulah diri saya.

"Itulah yang saya lakukan untuk menyara keluarga saya. Ia adalah apa yang perlu saya lakukan untuk kelab ini, buat peminat dan semua yang terbabit dengannya. Dia atas padang, saya akan sentiasa seperti itu.

"Ia adalah karektor saya dan saya sentiasa bersaing dan bersaing, sentiasa. Saya adalah orang yang berbeza di luar padang, seperti yang kamu dapat lihat, namun di dalam padang saya tidak berubah."

Costa dan Chelsea tidak mempunyai hak untuk membuat rayuan yang menyaksikan selain City, bekas pemain Atletico Madrid itu turut terlepas aksi menentang Aston Villa dan Everton. - AFP

Berita Harian X