Ahad, 1 Februari 2015 | 1:47pm

5 pengajaran daripada perlawanan JDT-Pahang


Pemain JDT, Luciano Figueroa menanduk masuk gol kedua pasukannya ketika bertemu Pahang pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru malam tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Perlawanan sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang di sini, malam tadi memberi lima pengajaran baik.

Ikutilah analisis oleh wartawan BH Online, Mohd Rizar Mohd Noor yang membuat liputan aksi Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin.

JDT memberi aksi bertenaga untuk menewaskan skuad Tok Gajah 2-0 untuk menjulang trofi pertama musim ini.

1. JDT terlalu bagus untuk Pahang.

Penguasaan JDT pada perlawanan itu nyata sukar buat Pahang mengubah kedudukan jaringan malah corak permainan JDT lebih mantap daripada Pahang yang tampak masih terkial-kial mencari rentak permainan.

Pahang diibaratkan masih dibuai mimpi indah selepas merangkul kejuaraan Piala FA dan Piala Malaysia dan kesempatan itu diambil JDT untuk merampas Piala Sumbangsih dari skuad Tok Gajah.

JDT sudah belajar daripada kesilapan lalu dan bangkit mempamerkan aksi konsisten manakala Pahang walaupun dibarisi hampir 90 peratus muka lama sejak musim lalu namun tidak mampu mengimbangi corak permainan skuad Harimau Selatan.


Pemain JDT, Marcos Antonio (dua dari kiri) meraikan jaringannya bersama Junior Eldstal (kanan) pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

2. Gandingan Marcos Antonio dan Junior Eldstal di posisi pertahanan mantap.

Eksperimen ketua jurulatih Bojan Hodak menggandingkan Marcos Antonio dan Junior Eldstal beraksi di posisi pertahanan tengah membuahkan hasil yang positif walaupun pada awalnya agak diragui kemampuan Eldstal beraksi di posisi itu.

Eldstal adalah pemain tengah ketika bersama Sarawak pada musim lalu namun disiplin dan komitmen dan mendapat tunjuk ajar daripada Antonio yang berpengalaman dan pernah beraksi bersama kelab Nuremberg FC memberi menunjukkan peningkatan mendadak Eldstal.

Kedua-dua pemain itu mampu membentuk barisan pertahanan mantap pada musim ini dan ia bakal menyukarkan mana-mana pasukan dalam Liga Super untuk melepasi kelibat mereka yang jelas menunjukkan kombinasi terbaik.


Pemain JDT, S Kunanlan. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

3. S Kunanlan - wira tidak berdendang (unsung heroes).

Karaktor S Kunanlan yang bersikap rendah diri dan tidak dilabel pemain `glamour' nyata memberi kesan kepada corak permainannya malah dia menjalankan tugas dengan baik walaupun beraksi di posisi bek kanan.

Larian pantas dan bijak membawa gerak geri pemain lawan memberi kelebihan kepada Kunanlan untuk sentiasa beraksi konsisten tampak mempedulikan rasa penat dan sering melakukan `overlapping' untuk membantu barisan serangan.

Walaupun bertubuh kecil namun bersemangat besar dan kelibatnya bakal menjadi igauan ngeri bukan sahaja kepada pemain sayap lawan malah dia juga mampu bertindak selaku `flanker' dengan kelicikan dan larian pantas untuk melakukan hantaran lintang.

4. Pahang hilang posisi tengah

Posisi tengah skuad Tok Gajah ibarat `mati' dan tidak berfungsi malah gandingan Azidan Sarudin dan Mohd Hafiz Kamal langsung tidak mendominasi posisi itu yang dikuasai pemain JDT gandingan Safiq Rahim-Hariss Harun-Shakir Shaari.

Tiada keajaiban yang dilakukan Azidan dan Mohd Hafiz tatkala meraih sepakan percuma pada posisi terbaik untuk menjaringkan gol sebaliknya dua percubaan menerusi sepakan percuma hanya sekadar bola melambung tinggi.


Pemain Pahang, Azamuddin Mohd Akil. - Foto Luqman Hakim Zubir

5. Ketiadaan Saiful Nizam Miswan dan Azamuddin Akil jejas rentak permainan Pahang.

Benteng pertahanan yang kehilangan pemain kental Saiful Nizam Miswan yang digantung perlawanan nyata begitu rapuh dan mudah diatasi barisan serangan JDT yang diterajui Jorge Pereyra Diaz.

Kelincahan Azamuddin Akil atau sinomin dengan panggilan `Alex' yang tidak beraksi pada perlawanan itu akibat kecederaan menjejaskan perancangan ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan sehingga menyebabkan ketajaman barisan serangan skuad Tok Gajah tampak begitu tumpul.

13 dibaca
Berita Harian X