Ahad, 1 Februari 2015 | 1:32pm

JDT beri Hodak bayangan awal mampu gegar Liga-M


Ketua Jurulatih JDT, Bojan Hodak. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Bukan 2-0 sebaliknya Johor Darul Ta'zim (JDT) mampu membelasah Pahang sekurang-kurangnya 5-0 pada aksi perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah, malam tadi.

Namun, kegagalan melakukan penyudah berkesan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, menjadi punca skuad yang bergelar Harimau Selatan melakar kemenangan besar biarpun memiliki peluang terbaik mencipta jaringan.

Apa yang pasti ketua jurulatih JDT, Bojan Hodak perlu segera memperbaiki kelemahan itu.

Walaupun tiga mata diraih pada aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) namun terlalu bergantung kepada barisan pemain import menimbulkan persoalan sama ada pemain tempatan masih `malu' untuk menghasilkan gol.

Senario itu tidak harus ada dikalangan pemain tempatan terutama Mahali Jasuli yang memiliki dua peluang terbaik melakar nama selaku penjaring gol tetapi persembahannya tampak bagaikan masih belum mantap sepenuhnya.

Berstatus selaku pemain kebangsaan, sewajarnya Mahali memiliki pengalaman dan lebih tenang untuk menyumbang jaringan buat JDT tetapi kegopohan tatkala berdepan peluang terbaik dipersia-siakan.

Mahali memiliki segalanya apabila mampu membuat larian dan menggelecek pemain lawan, bagaimanapun keyakinan kepada diri sendiri masih belum ada buat bekas pemain Harimau Muda itu.

Sudah tiba masanya, Mahali harus mempertingkatkan lagi mutu permainan dan mengambil inisiatif sendiri dengan menggandakan latihan andai ingin terus kekal dalam kesebelasan utama selepas diberi kepercayaan oleh Hodak.

Apapun, kemenangan itu sudah cukup buat Harimau Selatan untuk membalas dendam sejak musim lalu selepas kempunan mencatat kemenangan ke atas Pahang malah ia memberi `tonik' baru buat skuad itu memulakan kempen Liga Super pada musim ini.

Paling menarik, karaktor yang ditunjukkan oleh S Kunanlan apabila menjadi tunjang utama skuad Harimau Selatan selepas bertindak cemerlang menyekat kelicikan R Gopinanthan yang jelas hilang arah dan gagal melepasi pemain kebangsaan itu.

Corak permainan konsisten Kunanlan di posisi bek kanan bakal memberi tekanan buat Aidil Zafuan Abd Radzak yang perlu bekerja keras untuk mengambil kembali posisi itu selepas tidak diturunkan pada perlawanan itu akibat kecederaan buku lali.

Di posisi tengah, gandingan Safiq Rahim-Hariss Harun-Shakir Shaari menjadi `jantung' kepada skuad Harimau Selatan apabila berjaya menguasai posisi itu sehingga sukar buat Mohd Hafiz Kaman dan Azidan Sarudin menyekat penguasaan trio Harimau Selatan itu.

Safiq lebih bebas bergerak dan merencana strategi dengan bola lorongan yang tepat sambil di bantu Hariss manakala Shakir bijak menutup ruang selaku `defensive midfielder'.

Gandingan Junior Eldstal dan Marcos Antonio dianggap lulus pada ujian pertama apabila kedua-dua pemain memainkan peranan menghalang gerakan Dickson Nwakaeme dan Matias Conti yang sekadar menjadi penumpang dalam skuad Tok Gajah apabila langsung tidak melakukan percubaan berbahaya ke pintu JDT yang dikawal rapi penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Mohd Fadhli Shas juga memainkan peranan apabila berjaya menutup ruang pemain sayap kiri Pahang, Mohd Fauzi Roslan yang hilang taringnya selepas tidak mampu melepasi kawalan pemain itu.

Kelibat Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz bakal menjadi pemain berbahaya musim ini apabila gandingan kedua-dua pemain import dari Argentina itu boleh dianggap pelaburan berbaloi yang dilakukan JDT.

Apa tidaknya, semangat kental tersemat di dalam hati terutama Figueroa biarpun mengalami kecederaan pangkal paha namun tetapi meneruskan perlawanan sehingga tamat perlawanan dan ia sepatutnya dicontohi pemain tempatan.

Diaz juga turut memainkan peranan malah sering mengkucar-kacirkan benteng pertahanan skuad Tok Gajah dengan larian mengelirukan dan sepakan padu yang berbahaya.

Namun, nasib tidak menyebelahi pemain itu selepas rembatan deras dari luar kotak penalti sekadar singgah ke palang dan gagal mencatat nama selaku penjaring.

Apa boleh dirumuskan pada aksi JDT-Pahang, skuad bimbingan Hodak sudah lengkap dan mampu menggegar saingan Liga M pada musim ini tetapi perlu segera perbaiki sentuhan penyudah jika ingin terus mengidamkan kejuaraan liga buat kali kedua berturut-turut.

30 dibaca
Berita Harian X