Sabtu, 31 Januari 2015 | 5:41pm

Banjir: Pendawaian diperiksa sebelum bekalan elektrik disambung - Mahdzir


Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika meninjau paras air yang dirawat ketika mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Batu Kitang di sini hari ini.Turut sama Lembaga Air Kuching (LAK) Mohammad Sabari Shakeran (dua dari kiri), kelmarin. - Foto BERNAMA

KUALA NERANG: Suruhanjaya Tenaga (ST) dan kontraktor elektrik tempatan berdaftar diarah memeriksa dan membaik pulih sistem pendawaian elektrik yang rosak akibat banjir di Gua Musang dan Kuala Krai, Kelantan.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pemeriksaan itu dilakukan bagi memastikan sistem pendawaian elektrik di rumah berada pada tahap baik sebelum kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata, kira-kira 6,000 daripada lebih 20,000 buah rumah yang terjejas banjir di Dabong dalam jajahan Gua Musang dan Manek Urai di Kuala Krai telah diperiksa sejak dua minggu lepas.

"Bekalan elektrik dari pencawang telah pulih sepenuhnya di Kelantan dan ada rumah yang kita tidak dapat sambungkan bekalan elektrik disebabkan faktor keselamatan. Ada rumah yang tenggelam sepenuhnya, perlu diperiksa terlebih dahulu keselamatan sistem pendawaian sebelum TNB sambungkan semula elektrik.

"TNB tak boleh sewenang-wenangnya sambung bekalan elektrik ke rumah terlibat kerana bimbang akan berlaku perkara tidak diingini. Kita terpaksa periksa dengan teliti sebelum kita sambung semula bekalan elektrik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Cemerlang, di Kolej MARA Kuala Nerang di sini hari ini.

Mahdzir berkata, pemeriksaan dan membaik pulih sistem pendawaian elektrik di rumah juga dilakukan di Pahang, Terengganu dan Perak, yang turut dilanda bencana itu.

"Saya difahamkan, ST telah memohon peruntukan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebanyak RM24 juta bagi kerja-kerja membaik pulih sistem pendawaian itu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memantau paras air di empangan seluruh negara bagi memastikan takungan air mencukupi pada musim kemarau yang melanda beberapa negeri.

Katanya, hasil laporan yang diterima mendapati takungan air di semua empangan berada pada tahap baik dan cukup untuk disalurkan kepada pengguna.

"Keutamaan kita Empangan Sungai Selangor dan laporan yang kita terima (empangan itu) berada pada tahap 80 peratus (setakat 30 Januari lepas) berbanding 35 peratus (Mac 2014).

"Ini kerana air di empangan tersebut berada pada tahap kritikal sehingga berlakunya catuan air kepada penduduk sekitar Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya. Saya sarankan orang ramai supaya berjimat menggunakan air. Kita tidak mahu catuan air berlaku lagi," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X