Sabtu, 31 Januari 2015 | 9:30am

Larkin tunggu 'pertembungan klasik' JDT, Tok Gajah


JURULATIH JDT, Bojan Hodak (dua dari kiri) memberi arahan kepada pemain ketika menjalani sesi latihan skuad JDT musim 2015 di Padang Sri Gelam Johor Bahru, baru-baru ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Pertembungan klasik di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang pada perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini tidak boleh dinafikan lagi.

Debaran, drama dan kelibat barisan bintang masing-masing bakal memukau tontonan ketika tirai Liga Malaysia 2015 disingkap nanti.

JDT sebagai juara Liga Super pasti mahu menebus kehampaan musim lalu selepas tidak pernah mencipta kemenangan sepanjang saingan liga.

Mereka hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 dan tewas 2-3 manakala pada aksi separuh akhir Piala FA turut mencatat keputusan seri 1-1 dan tewas 0-1 dan final Piala Malaysia tewas 3-5 menerusi sepakan penalti selepas menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-2.

Pahang pula dianggap pilihan berdasarkan pencapaian menjulang Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA dan Piala Malaysia tatkala mengekalkan hampir 90 peratus muka lama yang sudah dibentuk sejak tiga musim lalu.

Pada aksi pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M) malam ini, ketua jurulatih, Bojan Hodak kemungkinan akan mempertaruhkan formasi berbeza dengan memberi penekanan kepada corak menyerang.

Apa pun, kelibat penjaga gol Mohd Farizal Marlias yang akan menjaga gawang JDT harus lebih peka dan bersedia untuk berdepan rangkaian serangan Dickson Nwakaeme dan Matias Conti yang bijak menghidu peluang.

Posisi pertahanan akan menyaksikan penampilan pertama Junior Eldstal bergandingan bersama Marcos Antonio tetapi persoalannya siapa antara kedua-dua pemain itu akan bertindak selaku pertahanan terakhir dan `stopper' ketika Antonio memiliki latar belakang selaku pemain `stopper' manakala Eldstal adalah pemain tengah ketika bersama Sarawak musim lalu.

Seharusnya komunikasi antara Antonio dan Eldstal amat penting untuk mengemudi pertahanan dan tidak berlaku kecelaruan sehingga membuka ruang kepada Conti dan Nwakaeme menghukum kesilapan mudah barisan pertahanan Harimau Selatan.

Bek kiri dan kanan tampak merisaukan tatkala Mohd Fadhli Shas yang sering beraksi di posisi pertahanan tengah akan bermain selaku pemain bek kanan dan dia harus menggunakan segala pengalaman untuk menyekat pergerakan D Saarvindran yang dijangka beraksi selepas ketiadaan Azamuddin Akil yang mengalami kecederaan lutut.

Kapten Aidil Zafuan Abd Radzak yang terlepas aksi final musim lalu selepas digantung satu perlawanan akan beraksi di posisi bek kanan namun dia harus lebih konsisten untuk menyekat kelicikan dan larian pantas R Gopinathan yang dianggap senjata utama skuad Tok Gajah.

Malah Aidil Zafuan harus mengelak daripada melakukan terjahan yang terlalu awal dan lebih berhati-hati dengan tipu helah Gopinathan yang gemar menggunakan kepantasan untuk mengatasi benteng pertahanan.

Dia juga perlu lebih konsisten untuk mengelak daripada bertindak menjatuhkan pemain lawan sehingga lawan meraih sepakan percuma yang memungkinkan kubu JDT dalam keadaan berbahaya.

Di posisi tengah gandingan Safiq Rahim dan Hariss Harun perlu bijak menjana gerakan tatkala untuk melorong bola yang tepat kepada barisan serangan yang akan diterajui Jorge Pereyra Diaz, Luciano Figueroa dan S Kunanlan manakala Shakir Shaari yang bertindak selaku `defensive midfield' bakal menyekat kelicikan Mohd Hafiz Kamal dan Azidan Sarudin yang dianggap watak penting dalam skuad Tok Gajah.

Ketepatan menjaringkan gol pasti diserahkan kepada sentuhan Latin, Figueroa yang muncul penjaring terbanyak dengan 11 gol ketika musim lalu.

Gandingannya bersama Diaz pasti diawasi oleh benteng pertahanan Pahang yang diterajui Damion Stewart dan Zesh Rahman yang membentuk pertahanan ampuh skuad Tok Gajah.

Apa pun, kesebelasan utama Hodak harus memberi komitmen melebih 100 peratus andai ingin melakar kemenangan dengan tiga mata pertama dan menjulang Piala Sumbangsih buat pertama kali.

Baki 15 minit terakhir JDT sering tampak hilang tumpuan dan pemain harus mengelak daripada senario itu berulang malah mereka perlu ingat betapa selagi pengadil perlawanan tidak meniup wisel maka selagi itu perjuangan belum selesai.

Berita Harian X