Jumaat, 29 Ogos 2014 | 3:40pm
NOVAK Djokovic. - Foto AFP
SERENA Williams. - Foto AFP
ANDY Murray. - Foto AFP

Terbuka AS: Djokovic, Serena, Murray mara pusingan ketiga, Ivanovic tersungkur

NEW YORK: Novak Djokovic mara ke pusingan ketiga buat kali ke-25 berturut-turut acara Grand Slam manakala Serena Williams pula melakar kemenangan ke-80 di kejohanan tenis Terbuka AS, hari ini selaku pemain pilihan pertama untuk mara ke peringkat sama.

Mereka diiringi ke kelompok 32 terakhir oleh juara 2012, Andy Murray serta juara Wimbledon wanita, Petra Kvitova.

Namun, bekas pemain nombor satu dunia, Ana Ivanovic yang juga pilihan kelapan kejohanan serta juara 2011, Samantha Stosur tersingkir.

Djokovic - pemain nombor satu dunia dan pilihan pertama - mudah layak mengatasi pemain Perancis, Paul-Henri Mathieu 6-1, 6-3, 6-0 dengan mencipta 13 ace dan 33 kemenangan yang memberi gambaran juara 2011 itu itu sudah bersedia memburu tiket ke final buat kali kelima berturut-turut.

"Keadaan di gelanggang berangin sedikit, tapi saya dapat menyesuaikan diri dengan situasi itu yang bukan mudah untuk saya dan juga lawan," kata Djokovic.

Dalam perlawanan berikut dia akan menentang pemain Amerika Syarikat, Sam Querrey.

Serena - pemain wanita nombor satu dunia - yang memburu gelaran ketiga berturut-turut di Flushing Meadows serta keenam secara keseluruhan dan gelaran Grand Slam ke-18 berjaya mengatasi rakan senegara, Vania King 6-1, 6-0 di Stadium Arthur Ashe dalam tempoh 56 minit sahaja.

Ia adalah kemenangan kedua ke atas lawan dari AS selepas dia menewaskan pemain belasan tahun, Taylor Townsend. Halangan berikut baginya adalah menentang Varvara Lepchenko bagi merebut tiket ke kelompok 16 terakhir.

Murray, pilihan kelapan, menewaskan pemain Jerman berusia 27 tahun, Matthias Bachinger 6-3, 6-3, 6-4.

"Kami berdua bergelut sikit tetapi selepas saya dapat rentak dan sesuaikan diri dengan keadaan angin di gelanggang barulah saya mula dapat mantapkan taktik saya," kata pemain dari Scotland itu.

Sementara itu pilihan kelima dari Kanada, Milos Raonic turut mara ke pusingan ketiga menewaskan Peter Gojowczyk dari Jerman, 7-6 (7/4), 5-7, 6-4, 7-6 (7/3) manakala Ivanovic mengalami detik penyingkiran paling awal di Terbuka AS selepas tewas kepada Karolina Pliskova dari Republik Czech, 7-5, 6-4.

Stosur, pilihan ke-24, kalah kepada pemain Estonia, Kaia Kanepi 3-6, 6-3, 7-6 (10/8). - AFP

Berita Harian X