Jumaat, 30 Januari 2015 | 7:49pm

AirAsia X ubah kepimpinan, buat terbitan hak raih RM395j


AirAsia X Bhd melantik Datuk Kamarudin Meranun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd melantik Datuk Kamarudin Meranun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Benyamin Ismail sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa serta merta sebagai sebahagian proses penyusunan semula syarikat itu.

Berikutan itu, syarikat mengesahkan peletakan jawatan Azran Osman Rani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa serta merta.

Menerusi jawatan yang baru diwujudkan itu, Kamarudin akan menerajui strategi pembangunan kumpulan AirAsia X yang terdiri daripada AirAsia X Bhd, AirAsia X Thailand dan Indonesia AirAsia Extra.

Benyamin, bersama Kamarudin akan mengetuai proses pemulihan dan penyusunan semula itu untuk mengukuhkan penyata kewangan syarikat serta memaksimumkan keuntungan bagi memastikan kedudukan kewangan lebih mantap.


Azran Osman Rani. - Foto Yazit Razali

Kamarudin dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh AirAsia X berkata syarikat itu berdepan cabaran dalam persekitaran yang sukar sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, selepas kajian semula secara menyeluruh, satu pelan pemulihan dirangka untuk meletakkan syarikat dalam kedudukan kewangan lebih baik bagi memastikan AirAsia X membawa semula keyakinan kepada pasaran.

"Menerusi pelan mantap ini, AirAsia X akan bergerak ke fasa pertumbuhan seterusnya dan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pasaran penerbangan tambang murah jarak jauh.

"Lembaga Pengarah AirAsia X dan pengasas bersamanya termasuk saya sendiri yakin dengan pelan ini dan kami akan melaksanakan satu terbitan hak dan akan menaja jamin sepenuhnya bahagian kami bagi menyokong syarikat.

"Kami mempunyai sebuah syarikat yang teguh dan bersama dengan Benyamin, yang mempunyai pemahaman menyeluruh model perniagaan AirAsia serta AirAsia X serta budaya yang menjadikan AirAsia syarikat penerbangan utama, saya menaruh keyakinan untuk memulihkan syarikat ini sekali gus menjadikan keuntungannya berkembang," katanya.

Benyamin menyertai AirAsia Bhd pada 2010 dengan menerajui pasukan Hubungan Pelabur serta dilantik sebagai Ketua Pembangunan Korporat, Pelaksanaan dan Hubungan Pelabur baru-baru ini.

Sementara itu, AirAsia X menerusi kenyataan berasingan di Bursa Malaysia mengemukakan cadangan untuk melaksanakan terbitan hak boleh dilepaskan saham baharu bersama dengan waran percuma untuk menjana hingga RM395 juta.

Hasil daripada terbitan hak itu akan digunakannya untuk mengurangkan sebahagian pinjaman jangka pendek sedia adanya berjumlah RM119 juta dan modal kerja.

Bagi menyelesaikan terbitan hak itu, AirAsia X juga bercadang untuk meningkatkan modal saham dibenarkannya kepada RM1 bilion merangkumi 6.666 bilion saham, daripada RM500 juta merangkumi 3.333 bilion saham ketika ini.

"Asas saham yang diperbesarkan itu juga dijangka mengukuhkan kecairan dan kebolehpasaran saham AirAsia X di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

"Waran percuma yang akan diterbitkan membolehkan pemegang saham yang layak meningkatkan lagi penyertaan ekuiti mereka pada harga ditentukan terlebih dulu sepanjang tempoh waran berkenaan," katanya.

AirAsia X berkata cadangan terbitan hak bersama waran itu dijangka menghasilkan penjimatan faedah sebanyak RM4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Cadangan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada satu tarikh akan ditentukan kemudian. Cadangan dijangka diselesaikan menjelang suku kedua tahun ini.

Berita Harian X