Selasa, 27 Januari 2015 | 3:24pm

RM26 juta untuk Program Desa Lestari tahun ini - Mohd Shafie


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjawab soalan wartawan ketika sidang media selepas merasmikan Bengkel Pengurusan Tertinggi Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2015 di Kuala Lumpur hari ini. Turut sama ialah Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad (tiga dari kiri). - Foto BERNAMA

MUAR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM26 juta tahun ini bagi menggerakkan Program Desa Lestari (Desa Abad ke 21) di 15 kampung seluruh negara, kata Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, kampung itu masing-masing dua di Kedah dan Sarawak dan masing-masing sebuah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah.

Katanya bagi tahun lalu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk melaksanakan program itu yang mengguna pakai sistem koperasi.

"Desa Lestari kita perkenalkan dua tahun lalu. Ia bukan hanya program yang melengkapkan kawasan luar bandar dengan prasarana-prasarana malahan membolehkan penduduk setempat menjana pendapatan melalui kegiatan ekonomi seperti program inap desa dan tanaman," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan projek dan menandatangani perjanjian pelaksanaan program itu di Kampung Parit Bugis, di sini, hari ini.

Setakat tahun lalu, katanya KKLW memilih sebanyak 42 kampung untuk menjalankan program berkenaan dan daripada jumlah itu, 15 kampung sudah beroperasi sepenuhnya manakala bakinya dalam masih proses pelaksanaan.

Mohd Shafie berkata, secara purata, kebanyakan kampung yang melaksanakan program itu berjaya menjana pendapatan antara RM30,000 hingga RM50,000 sebulan, hasil daripada pelbagai kegiatan ekonomi yang dilakukan.

"Oleh itu, ia secara umumnya telah meningkatkan pendapatan perkapita penduduk selain dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat," katanya.

Ditanya adakah program sebegini dapat didominasi warga asing seperti yang berlaku di Cameron Highlands, beliau berkata ia tidak akan berlaku kerana sistem koperasi yang diguna pakai dalam program berkenaan hanya membenarkan orang tempatan menyertainya.

"Kita gunakan sistem koperasi sebab ia ada pengiktirafan, pengawalan dan pemantauan ... tiap-tiap tahun ia (koperasi) akan mengadakan mesyuarat agung," katanya.

Dalam isu lain, Mohd Shafie berkata nilai kerosakan prasarana yang terpaksa ditanggung kementeriannya akibat banjir di seluruh negara hanya akan dapat diketahui dalam jangka masa terdekat.

- BERNAMA

20 dibaca
Berita Harian X