Selasa, 27 Januari 2015 | 12:14pm

Insya-Allah Tuhan akan tolong anak saya - Rita Rudaini


Rita Rudaini hadir perbicaraan kes tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah, Subang, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Minggu lalu Rita Rudaini memberitahu dia baru saja selesai menjalani penggambaran sebuah telefilem dan sekarang fokusnya pada perbicaraan di mahkamah membabitkan tiga lagi kes rumah tangganya.

Ia termasuk kes tuntutan nafkah tertunggak, mutaah dan nafkah edah. Semalam mahkamah memutuskan bekas suaminya Aidil Zafuan perlu membayar RM3,000 sebulan untuk nafkah dua anaknya Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.

Rita membuat tuntutan nafkah anak sejak 2012 dan baru tahun ini perjuangannya itu bernoktah sekalipun awalnya beliau menuntut RM5,392 sebulan.

"Saya bersyukur dengan keputusan mahkamah ini dan setakat itu rezeki anak. Tapi jumlah RM3,000 itu berdasarkan tiga tahun lalu. Jadi ia memadailah, cuma ia diputuskan pada tahun ini di saat anak saya kian membesar.

"Jadi perbelanjaan sekarang makin bertambah dengan kos sara hidup di ibu kota yang diketahui cukup tinggi. Yuran tahunan sekolah dua anak saja sudah RM2,090. Itu belum lagi yuran yang perlu dibayar setiap bulan.

"Itu belum termasuk lagi yuran bulanan kelas fardu ain dan kelas tuisyen. Kos lebih daripada nilai yang diputuskan dan saya tanggung sendiri selama ini. Apa-apapun saya terima dengan hati lapang terhadap keputusan ini dan insya-Allah Tuhan akan tolong anak saya," katanya.

126 dibaca
Berita Harian X