Isnin, 26 Januari 2015 | 6:00pm

Tajaan pelajar MARA kekal tahun ini - Shafie


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa sidang media selepas majlis Perasmian Bengkel Penetapan Program/Projek RMKe-11 (MARA), di Hotel Sama-Sama KLIA hari ini. Turut sama, Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad (kiri). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SEPANG: Tajaan pelajar Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melanjutkan pengajian ke luar negara kekal pada tahun ini meskipun agensi itu perlu melaksanakan langkah penjimatan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Pengurusan Tertinggi MARA 2015 di sini hari ini, beliau berkata program utama dan penting akan diteruskan pada tahun ini walaupun terdapat kekangan kewangan.

"Kami akan mengambil langkah terbaik agar kami dapat membantu dengan sebaik mungkin," katanya, sambil menambah pendekatan seperti mengurangkan lawatan dan program tidak perlu, akan diambil sebagai langkah penjimatan.

Mohd Shafie berkata, MARA adalah institusi penting yang menjadi tulang belakang kepada usahawan Bumiputera selain membantu pelajar melanjutkan pengajian.

Katanya, pertemuan bersama pegawai-pegawai kanan MARA hari ini diadakan dalam kerangka untuk menyusun semula rancangan bagaimana untuk meningkatkan keupayaan agensi itu dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Kami akan menyusun semula langkah-langkah dan kerangka dahulu untuk menambah baik dan meningkatkan sistem penyampaian bagi membantu Bumiputera dalam bidang pendidikan dan keusahawanan.

"Kami tidak puas hati dengan apa yang dicapai, kami perlu tingkatkan keupayaan. Kini, kita berdepan dengan landskap ekonomi yang mencabar dan perlu mengambil langkah-langkah mengurangkan perbelanjaan," kata Mohd Shafie.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Azmi Mohamad berkata MARA akan mengubah strategi penghantaran pelajar tajaannya ke luar negara.

"Kami akan mengurangkan bilangan pelajar sarjana muda dan menambah bilangan pelajar sarjana yang mengambil masa setahun atau dua tahun sahaja yang kosnya jauh lebih rendah," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X