Isnin, 26 Januari 2015 | 12:52pm

Ini tempoh paling sukar buat Balotelli - Rodgers

PENGURUS Liverpool, Brendan Rodgers. - Foto AFP

LONDON: Bos Liverpool, Brendan Rodgers mendedahkan penyerangnya, Mario Balotelli sedang mengharungi tempoh paling sukar untuk kembali ke skuad The Reds.

Penyerang Itali itu langsung tidak disenarai di bangku simpanan ketika kempen Piala FA menentang Bolton, semalam dan sekalipun Rodgers melakukan lima perubahan dan merehatkan Steven Gerrard, khidmatnya diakui tidak memenuhi kehendak pasukan.

Rodgers tidak lagi menutup mulutnya apabila mahu penyerangnya itu beraksi dengan pantas, bergerak dan menekan dengan agresif namun Balotelli mengakui segala kriteria yang diharapkan terhadapnya tiada dalam permainannya.

Ditanya sama ada bekas penyerang Manchester City itu mampu mengubah dirinya yang akan menjadi penentu masa dengannya di Anfield, Rodgers mengakui ia akan menjadi tugas yang amat sukar.

"Saya fikir masa akan memberitahunya. Masih ada sumbangan yang perlu dilakukannya, sesuatu yang saya fikir dia akan lakukan.

"Namun saya perlu membantu semua pemain setiap hari apabila saya melihat mereka berlari, bekerja. Kamu tahu? Itulah cara saya memilih skuad. Itulah caranya ia akan berlaku."

Selepas perlawanan menentang Bolton, Rodgers mendedahkan Balotelli tidak cedera dan tidak disenaraikan kerana tidak cukup bagus untuk berada dalam skuad.

Malah Rodgers menyifatkan penyerang kontroversi itu menyedari perkara terbabit.

"Sukar buat Mario kerana jelas pasukan bermain dengan baik dan dia sudah melihat Liverpool yang sebenar sejak beberapa minggu lepas dan melihat apa yang perlu ada untuk berada dalam pasukan.

"Kami menghabiskan masa kira-kira sejam untuk berbincang. Dia memahami di mana kedudukannya. Dia tahu apa diperlukan," katanya.

Liverpool akan bertemu Chelsea pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga di Stamford Bridge, awal pagi Rabu ini. - Agensi

Berita Harian X