Sabtu, 24 Januari 2015 | 6:26pm
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) ketika diberi taklimat mengenai Pengajian al-Quran secara dalam talian oleh Imam Masjid An-Nabawi, Madinah, As-Syeikh Dr. Abd Muhsen Al-Qasim. -Foto BERNAMA

Raja Muda Perlis rakam takziah kemangkatan Raja Abdullah

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang kini berada di Madinah merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut mengucapkan tahniah kepada pemerintah yang baharu, Raja Salman AbdulAziz Al Saud yang dinamakan sebagai Raja Arab Saudi.

Menurut kenyataan MAIPs hari ini, baginda menyifatkan almarhum Raja Abdullah sebagai seorang pemerintah yang tersohor kepimpinannya dan mengutamakan penyatuan rakyatnya.

Raja Muda Perlis yang berada di Madinah sejak tiga hari lalu turut bertemu Imam Masjid An Nabawi, As-Syeikh Dr Abd Muhsen Al-Qasim di masjid itu yang antara lain turut berbincang mengenai perkembangan Islam semasa. Menurut kenyataan itu, As-Syeikh Dr Abd Muhsen yang juga Hakim Mahkamah Rayuan Arab Saudi berharap umat Islam bersikap bijaksana dalam membezakan perbuatan atau amalan yang diperintahkan oleh agama Islam dan sebaliknya.

Sebelum itu, Tuanku Syed Faizuddin meminta pandangan tokoh agama itu tentang perbuatan melampau dan ekstrem yang dilabelkan atas nama Islam sehingga menimbulkan pandangan negatif pihak lain.

Pusat Pengajian Al-Quran di Masjid An Nabawi menjalin kerjasama denganUniversiti Malaysia Perlis (UniMAP) khususnya dalam bidang akademik sempena lawatan As-Syeikh Abd Muhsen ke Perlis pada Disember lalu.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP bertitah, beberapa pensyarah dan pegawai UniMAP ketika ini berada di Pusat Pengajian Al-Quran di Masjid An Nabawi bagi merealisasikan kerjasama akademik itu.

- BERNAMA

24 dibaca
Berita Harian X