Sabtu, 24 Januari 2015 | 1:05pm
AKSI bekas pemain Liverpool, Emile Heskey beraksi bersama Bolton. - Foto www.express.co.uk

Piala FA: Heskey teruja kembali ke Anfield

LONDON: Menjulang trofi Piala FA bersama Liverpool adalah memori indah buat Emile Heskey namun menentang bekas kelabnya itu selepas beberapa bulan tidak beraksi dan bekerja di syarikat TV rasmi The Reds menjadi sesuatu paling dinantikan bekas penyerang England itu.

Karier bola sepak Heskey, 37 tampak seakan berakhir selepas menamatkan kontrak di Liga Australia yang dianggap ramai destinasi terakhir buat pemain-pemain bintang veteran di Eropah.

Begitupun, kehadirannya bersama kelab Liga Kejuaraan, Bolton Wanderers musim ini memberinya peluang kembali beraksi dan lebih manis, mengharungi aksi pusingan empat Piala FA, awal pagi ini menentang The Reds - kelab di mana dia menjuarai gelaran sama pada 2001.

"Ia sesuatu yang menarik untuk kembali," kata Heskey. "Saya berusia 37 tahun, saya bukannya pemain muda dan kembali bermain di Anfield adalah sesuatu yang hebat.

"Ia bukannya terlalu lama, beberapa bulan lepas saya berada di LFCTV jadi saya sebenarnya kembali ke sana, memakai kasut but dan bermain menentang Liverpool, ia indah.

"Saya pernah memikirkan mengenai perkara ini. Peminat-peminat menakjubkan buat saya ketika saya di sana. Saya berharap mendapat sambutan yang baik dan bermain dengan sepenuh hati," katanya.

Digelar sebagai 'jentolak' di bahagian serangan ketika era kegemilangannya, Heskey menjaringkan 60 gol dalam 223 penampilan bersama Liverpool selama empat musim bermula 2000. - Reuters

Berita Harian X