Jumaat, 23 Januari 2015 | 12:38pm

Ketajaman Heskey ditagih Bolton di Anfield


PENYERANG Bolton, Emile Heskey ketika beraksi bersama kelab itu. Heskey pernah beraksi bersama Liverpool, lawan yang ditetang Bolton pada pusingan empat Piala FA, awal pagi esok pada era kegemilangannya. - Foto www.bwfc.co.uk

LIVERPOOL: Pengurus Bolton, Neil Lennon berharap kehadiran semula penyerang veteran, Emile Heskey ke Anfield mampu menjana inspirasi buat pasukannya untuk melakar kejutan pada pusingan empat Piala FA menentang Liverpool.

Heskey kembali ke laman keramat The Reds itu, awal pagi esok pada usia 37 tahun selepas keluar daripada persaraan untuk menyertai kelab Liga Kejuaraan, Bolton pada Krismas.

Bekas penyerang England itu pernah menjulang trofi Piala FA bersama Liverpool pada 2001, musim di mana dia meledak 22 gol dan membantu kelab bimbingan bekas pengurus, Gerard Houllier memenangi Piala UEFA dan Piala Super Eropah.

Selain Heskey, bekas pemain Chelsea dan Barcelona, Eidur Gudjohnsen, 36 juga beraksi bersama Bolton yang ketika ini menghuni tangga ke-15 Liga Kejuaraan.

"Emile Heskey dan Eidur Gudjohnsen adalah dua pengaruh yang besar buat kami di bilik persalinan, memiliki pengalaman bermain dalam perlawanan yang besar," kata Lennon yang juga bekas pemain Celtic yang memenangi Piala UEFA di Anfiled pada 2003.

"Kami berharap semua naluri lama mereka kembali dan mereka dapat merasainya semua, berada di dalam suasana perlawanan yang besar.

"Emile bermain dengan cemerlang sejak datang ke sini. Ada yang ingin dibuktikannya ketika dia datang ke sini dan dia melakukannya. Masih banyak semangat bola sepak dalam dirinya dan dia adalah bonus yang besar buat kami," katanya.

Bolton yang tersingkir ke Liga Kejuaraan pada 2012 berjaya keluar daripada zon penyingkiran sejak Lennon mengambil alih tugas selaku pengurus pada Oktober lepas.

Dalam pada itu, Liverpool dijangka menurunkan kembali penyerang kontroversi, Mario Balotelli yang pulih daripada masalah kesihatan selain pertahanan, Glenn Johnson dan Joe Allen.

Begitupun, pengurus The Reds, Brendan Rodgers mengesahkan penyerang England, Daniel Sturridge masih belum cergas sepenuhnya untuk beraksi dan kekal dalam proses pemulihan akibat kecederaan yang dialami sejak September tahun lalu. - AFP

Berita Harian X