Selasa, 20 Januari 2015 | 12:45pm
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal - Foto Roslin Mat Tahir.

Penstrukturan semula ekonomi mampu kurangkan kos pengurusan - Shafie Apdal

PUTRAJAYA: Penstrukturan semula ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan ekonomi negara terus berada pada landasan kukuh mampu mengurangkan penjimatan kos pengurusan sebanyak RM5.5 bilion, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Ia satu penstrukturan semula yang berbentuk bukan hanya 'reenergize' ekonomi tetapi dengan strategi baru yang digariskan, kita (kerajaan) dapat menjimatkan kos pengurusan sebanyak RM5.5 bilion.

"Melihat kepada kerangka yang digariskan ia mestilah realistik. Landasan bajet dahulu digunapakai berdasarkan kadar GDP kita, pertumbuhan ekonomi dan kadar harga minyak iaitu AS$100 dolar setong... hari ini dah AS$47 dolar setong. Bayangkan 50 peratus penurunan.

"Ini (penstrukturan semula ekonomi) merupakan langkah yang bersesuaian pada waktunya dan ia dilihat mampu memperkukuhkan landasan ekonomi negara dalam situasi ekonomi dunia yang mencabar," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perutusan Khas Perdana Menteri Mengenai Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, sebentar tadi.

Mohd Shafie berkata, ekoran daripada penurunan harga minyak mentah dunia, kos pengurusan perniagaan pasti menurun dan ia sekali gus mengurangkan perbelanjaan operasi.

"Apa yang pasti, pengurangan kos perniagaan kerana harga minyak dan gas dah turun... sudah pasti kos operasi seperti elektrik dan perkhidmatan juga lebih rendah," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menjelaskan peruntukan untuk kementeriannya masih dikekalkan seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2015 iaitu RM48 bilion.

Beliau turut menyeru supaya rakyat di negara ini mengurangkan aktiviti melancong di luar negara dan menyokong industri pelancongan tempatan bagi menggalakkan pertumbuhan nilai ringgit.

"Ini satu langkah yang saya yakin jika dapat sokongan semua pihak... Di mana rakyat dapat kurangkan perbelanjaan di luar negara iaitu kurangkan aliran wang ringgit ke luar negara. Sokong industri pelancongan tempatan untuk galakkan aliran wang tunai dalam negara," katanya.

12 dibaca
Berita Harian X