Isnin, 19 Januari 2015 | 10:55pm
Maria Sharapova melakukan servis terhadap lawannya, Petra Martic dari Croatia, dalam perlawanan Terbuka Australia, hari ini. - Foto AFP

Terbuka Australia: Federer, Sharapova mara pusingan kedua


Aksi Roger Federer ketika menentang pemain Taiwan, Lu Yen-Hsun dalam perlawanan Terbuka Australia, hari ini. - Foto EPA

MELBOURNE: Dua bintang tenis - Roger Federer dan Maria Sharapova menepati reputasi masing-masing apabila layak ke pusingan kedua Terbuka Australia, hari ini.

Federer - pemain nombor dua dunia yang memburu gelaran Grand Slam ke-18, terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pemain Taiwan, Lu Yen-Hsun.

Bintang dari Switzerland itu yang mahu mengejar impian memburu gelaran kelima di Melbourne Park, menang 6-4, 6-2, 7-5 dalam tempoh satu jam 53 minit di Arena Rod Laver.

Dalam perlawanan pusingan kedua nanti pemain berusia 33 tahun itu bakal berdepan pemain Itali, Simone Bolelli.

Sementara itu, dalam perseorangan wanita, pemain pilihan kedua, Sharapova tidak banyak mengerah keringat sebelum menewaskan Petra Martic dari Croatia 6-4, 6-1 untuk meneruskan saingan pusingan kedua.

Pemain Russia itu memulakan kempen untuk merangkul gelaran kedua di Melbourne Park dan dalam saingannya dengan Serena Williams dalam perebutan sebagai pemain nombor satu dunia.

Nasib bekas pemain nombor satu dunia, Ana Ivanovic berbeza apabila dia ditewaskan pada pusingan pertama kepada pemain pilihan ketiga dari Republik Czech, Simona Halep dengan 1-6, 6-3, 6-2. - AFP

Berita Harian X