Isnin, 19 Januari 2015 | 3:38pm
RAFAEL Nadal ketika aksi menetang Mikhail Youzhny dari Russia pada perlawanan perseorangan Terbuka Australia. - Foto REUTERS

Terbuka Australia: Nadal, Murray mara pusingan kedua

MELBOURNE: Dua bintang tenis - Rafael Nadal dan Andy Murray - berjaya mara ke pusingan kedua, Terbuka Australia, hari ini namun impian Grand Slam bagi Ana Ivanovic musnah.

Nadal, pilihan ketiga dan pilihan keenam, Murray merakamkan kemenangan mudah manakala bintang yang sedang meningkat, Simona Halep dan Grigor Dimitrov juga melangkah ke pusingan berikut pada hari yang dingin dan berangin di Melbourne.

Nadal jelas tidak berdepan halangan besar apabila menumpaskan pemain Russia, Mikhail Youzhny 6-3, 6-2, 6-2.

Juara Grand Slam 14 kali itu dari Sepanyol tidak menunjukkan tanda-tanda kecederaan yang mengganggu fokus pemain ini pada musim 2014.

"Satu keputusan positif bagi saya," kata Nadal yang turut tersisih, musim lalu kerana pembedahan apendiks dan kecederaan pada pergelangan.

Murray pula mendapat ujian awal sebelum mengetepikan pemain berbakat dari India, Yuki Bhambri 6-3, 6-4, 7-6 (7/3).

Murray kini mahu muncul pemain pertama untuk memenangi Terbuka Australia selepas gagal dalam tiga final di Melbourne Park.

Namun, hari bertukar muram buat bekas pemain nombor satu dunia wanita, Ana Ivanovic yang juga pilihan kelima kejohanan.

Pemain dari Serbia itu yang menjadi idola penonton di sini kecundang kepada Lucie Hradecka dari Republik Czech, 1-6, 6-3, 6-2. - AFP

Berita Harian X