Jumaat, 14 Julai 2017 | 12:04pm

Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri di Johor

KLUANG: Seramai 30,000 pengunjung dijangka memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2017, di Taman Seri Lambak, Sembrong, dekat sini, malam esok.

MRTM yang pertama diadakan di negeri ini itu dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Turut dijadual hadir, Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pegawai Daerah Kluang, Mohd Noh Ibrahim berkata, rakyat Johor terutama masyarakat daerah ini, Kota Tinggi, Mersing dan Batu Pahat dijemput hadir bagi memeriahkan majlis yang julung kali diadakan di negeri ini.

Katanya, rumah terbuka itu dijangka bermula jam 8.30 malam namun pengunjung dinasihatkan datang lebih awal dan meletakkan kenderaan mereka di lokasi parkir disediakan penganjur bagi mengelakkan kesesakan.

"Kita menyediakan Bas Muafakat Johor secara percuma sebagai bas pengantara atau 'shuttle' untuk mengangkut pengunjung dari lokasi parkir disediakan ke tapak majlis di Taman Seri Lambak.

"Pengunjung yang datang awal boleh berkunjung ke Pameran Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berlangsung sejak semalam hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dengan pelbagai acara disusun termasuk pameran kerjaya dan demonstrasi memasak malah masjid juga berada di lokasi sama.

"Lebih 15 jenis makanan tradisi Johor bakal dihidangkan termasuklah Nasi Beriani Gam, Laksa Johor, roti jala, satay dan kuah kacang, murtabak, mi bandung, lemang, rendang, apam tepung, tauhu bakar, rojak petis selain kuih batang buruk Muar, bangkit dan kuih tiram," katanya.

Berita Harian X