Isnin, 19 Januari 2015 | 1:22pm
PEMAIN pilihan kelima, Ana Ivanovic menjadi mangsa pertama dikejutkan pada Tenis Terbuka Australia apabila tersingkir pada pusingan pertama. - Foto EPA

Ana Ivanovic mangsa kejutan pertama di Terbuka Australia

MELBOURNE: Pemain pilihan kelima, Ana Ivanovic menjadi mangsa pertama dikejutkan pada Tenis Terbuka Australia apabila tersingkir pada pusingan pertama kepada pemain ke-142 dunia, Lucie Hradecka, sebentar tadi,

Pemain kelayakan dari Republik Czech itu memang ke atas Ivanovic dari Serbia 1-6, 6-3, 6-2 di hadapan penyokongnya di gelanggang Rod Laver Arena.

Ia adalah kejutan pertama dihadapi Ivanovic dalam kejohanan terbesar tahun ini, sekali gus dilihat menjejaskan rancangannya untuk memulihkan kembali karier tenisnya sejak menjuarai Terbuka Perancis pada 2008.

Pemain berusia 27 tahun itu seakan-akan mudah untuk menjinakkan lawannya selepas menang mudah 6-1 pada set pertama dalam masa hanya 21 minit.

Namun pada set kedua, Hradecka bangkit dengan mendahului 3-0 sebelum Ivanovic mengejar kedudukan kepada 3-4 sebelum Hradecka memintas semula untuk mengheret ke permainan penentuan.

Hradecka, yang menang pingat perak beregu di Olimpik London dan tiga kejuaraan Grand Slam, terus menguasai permainan dan memberi tekanan kepada lawannya sebelum menang 6-2 pada set ketiga. - AFP

Berita Harian X