Jumaat, 14 Julai 2017 | 6:46am

E-PACE baharu lebih dominan

Jaguar yang terkenal sebagai jenama mewah yang unggul dengan reka bentuk elegan dan jentera mengagumkan bakal memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharunya.

Jaguar ketika ini hanya memberikan gambaran sebahagian daripada SUV baharu itu nanti, menjadikan tanda tanya kepada semua peminat dunia automotif, apakah bentuk sebenar SUV baharu yang dikenali sebagai Jaguar E-PACE.

Bakal bergabung dengan keluarga SUV Jaguar PACE, E-PACE adalah kesinambungan kejayaan F-PACE, yang membantu meningkatkan jualan Jaguar sebanyak 83 peratus tahun lalu, dan konsep kenderaan elektrik I-PACE yang akan dihasilkan pada tahun 2018.

Cetus permintaan tinggi

Tidak dinafikan SUV kini adalah prospek paling menarik dan menjadi antara kenderaan yang mendapat permintaan tinggi dari pengguna.

Pengarah Reka Bentuk Jaguar, Ian Callum, berkata model terbaharu ini menggabungkan rekaan kereta sport dengan penampilan Jaguar.

Ian berkata, gabungan itu memberikan satu impak kelainan dan menonjolkan lagi jenama Jaguar dan model E-PACE.

"Setiap model Jaguar direka untuk merangsang pancaindera, dan E-PACE bakal memberikan satu kelainan dengan wataknya sendiri," katanya.

Jaguar E-PACE menampilkan teknologi AWD dengan ciri kereta sport dan didatangkan dalam barisan enjin petrol dan diesel, serta ciri teknologi dan keselamatan yang berkaitan.

Dinobat kereta dunia 2017

Walaupun Jaguar sudah mengumumkan mengenai kewujudan E-PACE ini, namun prestasi serta reka bentuk sebenar model terbaharu ini hanya akan dilancarkan kepada umum pada 13 Julai nanti.  

Sementara itu, mengenai prestasi perniagaannya pula, jualan Jaguar meningkat 65 peratus pada Januari hingga Mei 2017 kepada 79,895 unit seluruh dunia.

Jaguar F-PACE pula dinobatkan sebagai kereta dunia 2017 dan menjadi antara penyumbang utama kejayaan Jaguar bagi tahun kewangan 2016 dan 2017 dengan kenaikan jualan 83 peratus.

Jaguar juga dalam perancangan mengeluarkan kenderaan dengan konsep elektrik yang diumumkan pada November 2016 lalu, Jaguar I-PACE kepada umum pada 2018.

Berita Harian X