Khamis, 13 Julai 2017 | 11:20am

Persimpangan bertingkat baharu di Bandar Saujana Putra

BANTING: Satu persimpangan bertingkat bakal dibina di Bandar Saujana Putra dekat sini, bagi menangani peningkatan aliran trafik di kawasan itu.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid, dalam satu kenyataan media, berkata, persimpangan bertingkat itu akan dibina di bulatan di kawasan penempatan itu oleh pemaju, Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB).

Katanya, pihaknya sedia maklum dengan kesesakan lalu-lintas di Bandar Saujana Putra terutama pada waktu puncak.

"Justeru, satu usaha sudah digerakkan dan perancangan pembinaan persimpangan bertingkat di bulatan Bandar Saujana Putra dilaksanakan serta pelan kelulusan juga diberikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kepada PNSB bagi tujuan itu.

"Pada masa sama, bagi penyelesaian jangka pendek pula, pemasangan lampu isyarat di bulatan itu dijangka siap dalam masa terdekat manakala pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memberikan kerjasama dan membantu mengawal kesesakan lalu lintas di bulatan itu pada waktu puncak.

"Sementara itu, perbincangan di peringkat MDKL bersama pihak yang berkaitan seperti LLM dan PNSB dijalankan awal tahun ini dan perkara ini sudah dikemukakan untuk makluman kepada pihak pentadbiran Kerajaan Negeri," katanya.

Pada masa sama, Mohamad Zain berkata, pertambahan aliran trafik di sesebuah kawasan menunjukkan bahawa ia menarik pelabur dan masyarakat luar dari daerah ini untuk berhijrah ke daerah Kuala Langat yang dikenali sebagai Lembah Klang Kedua.  

"(Kita) ambil dari sisi positif dan jangka panjang, kawasan Bandar Saujana Putra sebagai kawasan pembangunan baharu yang berdaya saing dari segi ekonomi serta bakal menjadi tumpuan pelabur luar apabila perbandaran bersebelahan seperti di Rimbayu dimajukan sepenuhnya pada masa akan datang dan banyak manfaat akan dapat dinikmati oleh penduduk ketika itu," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Zain berharap penduduk di kawasan terbabit bersabar menghadapi kesesakan yang berlaku kerana pelbagai usaha sudah digerakkan bagi memastikan masalah kesesakan lalu lintas itu dapat diselesaikan sebaik mungkin.

Berita Harian X