Khamis, 13 Julai 2017 | 8:24am

Teruskan bantu mualaf - JAKIM


RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan menandatangai plak sebagai simbolik perasmian majlis Semarak Syawal Bersama Muallaf Peringkat Zon Utara 2017 di Dewan 2020 malam tadi. Turut berangkat Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tiga, kanan). Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man (kiri), Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha (kanan) dan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (tiga, kiri).- Foto BERNAMA

KANGAR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyifatkan inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memberi biasiswa kepada mualaf melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi sebagai amalan murni cerminan Islam.

Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha, berkata inisiatif sedemikian perlu dicontohi negeri lain dan JAKIM sendiri akan menggunakan pendekatan sama dalam membantu saudara baharu.

"Inisiatif ini belum dilakukan mana-mana pihak. Menariknya, MAIPs menawarkan biasiswa kepada mualaf tanpa mengira usia, malah ada pelajar berusia 40 tahun menerimanya," katanya pada Majlis Semarak Kasih Syawal bersama Mualaf di Dewan 2020, di sini, malam tadi.

Beliau merujuk titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, mengenai usaha MAIPs memberi bantuan berbentuk biasiswa kepada 50 mualaf untuk melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Othman berkata, pihaknya akan membawa langkah MAIPs itu ke persidangan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

"Kita akan meminta MAIPs membuat kertas cadangan bagi dibincangkan bersama untuk dilaksanakan di negeri lain," katanya.

Terdahulu, lebih 600 mualaf zon utara merangkumi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dirai dalam sambutan Aidilfitri.

Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua MAIPs yang berangkat ke majlis itu turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri.

13 dibaca
Berita Harian X