Rabu, 12 Julai 2017 | 5:54pm

1,000 orang dijangka hadir pertemuan semula SMKSAA

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz (SMKSAA), Teluk Intan dijangka hadir memeriahkan Majlis Grand Reunion Gabungan Azizian sempena sambutan Aidilfitri 15 Julai ini.

Ketua Penasihat Kelab Alumni Azizian, Datuk Abdullah Hamid Jaafar, berkata majlis berkenaan dijangka dihadiri oleh bekas guru dan pelajar yang pernah menimba ilmu serta berkhidmat di sekolah itu.

"Program julung kali diadakan itu akan mengumpulkan warga SMKSAA daripada enam generasi iaitu generasi sejak enam dekad lalu selepas kewujudan SMKSAA dan meraikan serta menghargai peranan dan sumbangan SMKSAA sepanjang penubuhannya yang banyak melahirkan ramai tokoh berjaya.

"Majlis bertujuan mengumpulkan kembali bekas pelajar dan guru sejak beberapa generasi bagi merangka pelbagai lagi program yang bermanfaat khususnya untuk SMKSAA dan warganya termasuk bekas pelajar," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengajak semua bekas warga SMKSAA untuk hadir meriahkan majlis berkenaan, malah dapat mengeratkan hubungan selain turut serta dalam Kelab Alumni Azizian.

"Melalui Kelab Alumni Azizian ini kita ingin merangka lebih banyak program pada masa hadapan untuk manfaat sekolah dan bekas pelajar. Mungkin dengan cara ini kita mampu menyumbang dan membantu mereka yang menghadapi pelbagai masalah termasuk kewangan.

"Bukan itu saja, kelab ini juga adalah untuk membuktikan kemasyhuran SMKSAA yang banyak melahirkan ramai bekas pelajar berjaya sehingga menjadi tokoh disegani dalam negara," katanya.

Majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Abdullah Hamid berkata, antara tokoh pelajar yang akan hadir, bekas Menteri Besar Perak yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang juga bekas pelajar tahun 1958.

Beliau belajar di SMKSAA yang ketika itu dikenali sebagai Government English School (GES).

Bekas-bekas pelajar lain yang dijangka hadir Leftenan Kolonel (B) Polis Tentera Mohd Nizar Darus, penerima Anugerah Sasterawan Negeri Pahang, Datuk Dr Haji Mohd Mansor Abdullah, pakar motivasi Dr Mat Saad Baki dan Jeneral (B) TUDM, Tan Sri Abdullah Ahmad lagi.

Berita Harian X