Rabu, 12 Julai 2017 | 12:15am

Melaka gagal kekang Kedah


PEMAIN Kedah, Mohd Asri Mardzuki (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Melaka United pada Perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Hang Jebat. Krubong. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Melaka United (MU) gagal meneruskan kebangkitan selepas tewas 2-4 kepada Kedah pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Hang Tuah tewas buat kali ketiga kepada lawan itu musim ini, selepas tewas dalam aksi pusingan pertama dan saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia, minggu lalu.

Kemenangan Kedah pula membolehkan mereka merampas posisi tempat kedua dari Pahang dan menyalakan peluang untuk mengejar Johor Darul Ta'zim (JDT) di persada liga, ketinggalan sembilan mata di belakang skuad Harimau Selatan itu yang mengumpul 36 mata.

Marco Simic menceriakan 12,000 penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol pertama tetapi kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Baddrol Bakhtiar hanya memerlukan empat minit untuk menyamakan kedudukan.

Simic sekali lagi meletakkan MU di depan pada minit ke-30 tetapi Baddrol sekali lagi tampil menjaringkan gol penyamaan, lima minit sebelum babak pertama tamat.

Senario babak kedua bagaimanapun berbeza apabila kerapuhan benteng tuan rumah menyaksikan Akram Mahinan meletakkan Kedah di depan apabila menolak mudah gol ketiga pada minit ke-55.

Pemain gantian Asri Mardzuki menamatkan sisa-sisa kebangkitan skuad bimbingan Eduardo Almeida dengan gol keempat pada minit ke-90.

Berita Harian X