Isnin, 19 Januari 2015 | 8:21am

Beri SKMM kuasa dakwa penyebar fitnah siber

kadiro@bh.com.my

Menyebar berita tak sahih, fitnah dan kenyataan berbaur hasutan hingga boleh menjejas hubungan antara kaum serta agama di laman sosial bukan perkara baharu. Malah, penyebaran berita seumpama itu juga bukan baharu, kerana dulu kala, ia disebarkan melalui surat layang serta cakap-cakap di kedai kopi.

Sekarang, sepantas jari menekan butang, sepantas itu juga segala fitnah tersebar ke merata tempat oleh keyboard warriors. Dengan bantuan pelbagai aplikasi laman sosial, keadaan semakin meruncing serta lebih parah apabila menjadi 'viral' berbanding dulu.

Namun, yang menyedihkan ialah sesetengah pengguna laman sosial lebih suka untuk berkongsi (share), 'like' dan 'retweet' sesuatu pos tanpa memeriksa terlebih dulu sama ada betul atau palsu.

Seperti kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek: "Kita tidak boleh terima bulat-bulat apa yang tersiar dan disebarkan dalam media sosial. Kita kena ajar masyarakat supaya jangan terus percaya maklumat diterima, sebaliknya buat tapisan dan pengesahan serta rujukan."

Antara cara menangani isu ini ialah menggubal undang-undang baharu yang lebih relevan dan menyeluruh. Contohnya, orang yang share, like dan retweet pos palsu, mungkin juga boleh didakwa.

Tindakan itulah yang lebih parah kerana membantu menyebarkannya hingga menjadi 'viral', juga boleh dikategorikan sebagai penyebar fitnah atau bersekongkol.

Untuk itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu diperkasakan dan jika tidak cukup kakitangan untuk memantau 18 juta pengguna internet, kerajaan perlu tambah tenaga kerja. Undang-undang yang ada perlu dikaji semula.

Contohnya dalam undang-undang sekarang ini, SKMM tidak boleh menahan orang buat salah kerana tugas hakikinya untuk menyiasat dalam bentuk forensik internet. Polis yang diberi kuasa untuk menahan dan Pejabat Peguam Negara pula dipertanggungjawabkan untuk mendakwa.

Sudah tiba masanya, SKMM diberi kuasa menyiasat, menahan dan mendakwa segala bentuk kesalahan di alam siber memandangkan perkembangan pesat dunia teknologi. Biar tugas polis dan Pejabat Peguam Negara tertumpu di luar alam siber, yang juga mencabar sekarang ini.

Ini boleh membantu meringankan beban polis, apatah lagi kes jenayah yang saban hari berlaku.

Hukuman pula perlu lebih berat. Hukuman menurut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 hanya denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Kita menerima hakikat kemajuan dalam dunia siber dan tiada apa yang boleh menyekat sesiapa saja untuk meluahkan atau pos apa saja di laman sosial - tetapi salah guna boleh mengundang malapetaka.

Untuk mengekang salah guna ini, perlu ada bentuk kawalan dari segi undang-undang. Apa pun, yang lebih penting ialah perlu ada 'tapisan dalam diri sendiri' dengan mengetahui apa yang boleh dimuat naik atau sebaliknya.

Kita juga berharap kembalinya Datuk Seri Dr Halim Shafie untuk menerajui semula SKMM akan melihat semua isu ini.

Kita juga berharap SKMM di bawah pengerusi baharu akan lebih mesra media, selain bertindak cepat untuk menyiasat sebarang bentuk provokasi melampau disebarkan di laman sosial tanpa perlu menunggu laporan rasmi.

30 dibaca
Berita Harian X