Selasa, 11 Julai 2017 | 9:29pm

Laluan Shenzen-Langkawi akan mula 9 Ogos

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd sedang mengembangkan rangkaiannya dengan memperkenalkan penerbangan terus dari Shenzhen, China, ke Langkawi bermula 9 Ogos 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif, Aireen Omar berkata, konsep penerbangan tambang rendah itu telah diperkenalkan di Shenzhen bagi membolehkan lebih ramai orang untuk terbang.

"Sekarang ini, penduduk di wilayah Guangdong dihubungkan dengan baik ke seluruh dunia melalui rangkaian penerbangan kami yang luas merangkumi lebih 120 destinasi di Asia, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat," katanya dalam satu kenyataan.

Sejak penerbangan sulung pada tahun 2007, AirAsia telah membawa 4.3 juta penumpang masuk dan keluar dari Shenzhen, membawa trafik penumpang tempatan dan antarabangsa yang tinggi ke bandar terbabit.

Meraikan ulang tahun kesepuluh pendaratan pesawatnya di Shenzhen, China, AirAsia sekarang ini menawarkan 35 penerbangan mingguan dari Shenzhen ke Asia Tenggara.

Faktor beban purata bagi tahun ini bagi tiga laluan dari Shenzhen merekodkan prestasi sebanyak lebih 85 peratus, meletakkan AirAsia sebagai penerbangan asing yang terkemuka, dari segi kekerapan penerbangan dan penumpang yang diterbangkan ke Shenzhen.

Sebagai meraikan kejayaan berkenaan, AirAsia menawarkan semua dalam tambang bermula serendah RM256 dari Kuala Lumpur ke Shenzhen dan RM257 dari Kota Kinabalu ke Shenzhen. - Bernama

Berita Harian X