Selasa, 11 Julai 2017 | 7:17pm

Ranau dilanda banjir kilat


KEADAAN banjir kilat di beberapa kawasan di Ranau. - Foto Cleo Will

RANAU: Hujan lebat lebih dua jam mengakibatkan beberapa kawasan pekan di sini mengalami banjir kilat, petang tadi.

Hujan lebat melanda seawal jam 2 petang itu dan antara lokasi terjejas termasuklah kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, stesen minyak kawasan pekan itu dan beberapa jalan raya yang dinaiki air.

Pegawai Daerah Ranau, Faimin Kamin, ketika dihubungi berkata banjir bagaimanapun beransur surut kira-kira jam 4 petang tadi.

"Sejak akhir-akhir ini, hujan kerap berlaku di sebelah petang, kadang-kala hingga dua jam, sekali gus menyebabkan banjir kilat berlaku khususnya di kawasan rendah.

"Kita mendapati antara punca air naik bukan kerana masalah sistem perparitan tetapi saiz culvert atau pembentung sedia ada yang tidak dapat menampung jumlah air hujan yang banyak.

"Bagaimanapun, setakat ini kita belum menerima sebarang laporan kejadian berkaitan banjir seperti tanah runtuh atau kerosakan harta benda," katanya.

Kejadian banjir kilat itu turut menjadi viral di laman sosial Facebook petang tadi, sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna khususnya penduduk daerah terbabit.

Sementara itu, Faimin berkata satu mesyuarat khas diadakan petang tadi susulan banjir kilat itu bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun di Pejabat Majlis Daerah Ranau.

"Mesyuarat khas itu turut dihadiri pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan majlis daerah. Kita akan mengadakan lawatan ke lokasi terjejas esok," katanya.

41 dibaca
Berita Harian X