Selasa, 11 Julai 2017 | 7:16pm
Roziana Arbain

Penduduk Sabak Bernam terasa gegaran


Hakimah Sawal

SABAK BERNAM: Beberapa penduduk di daerah ini mengalami gegaran kecil susulan gempa bumi sederhana di Sumatera Utara pada jam 9.24 pagi tadi.

Suri rumah, Hakimah Sawal, 53, dari Kampung Parit 8, Sekinchan, sedang bersarapan sebelum berasa pening apabila terasa rumahnya bergegar.

"Saya terfikir mungkin gempa bumi di negara jiran sebab pernah mengalami kejadian seperti ini beberapa kali," katanya ketika ditemui, hari ini.

Hakimah berkata, gegaran yang dialaminya pagi tadi tidak sekuat pada 2010.

Penduduk di Parit 1 Timur Sungai Besar, Roziana Arbain, 29, berhenti seketika daripada melakukan tugasannya apabila berasa pening secara tiba-tiba.

"Saya tak perasan kalau ada air berkocak atau gegaran yang kuat.

"Saya ingatkan pening sebab memang tidak sihat.

"Jadi bila rasa pening ketika membasuh pinggan, saya berhenti dan duduk rehat sekejap. Sudah lega, baru saya sambung semula kerja," katanya.

Roziana hanya mengetahui mengenai gempa bumi di Sumatera Utara melalui kumpulan aplikasi WhatsApp keluarganya.

Berita Harian X