Selasa, 11 Julai 2017 | 6:40pm

Kenderaan 'E-Bug' bakal diguna di Langkawi


TIGA jelitawan menunjukkan buggy elektrik model NZ14 daripada Naza Auto Solution Asia Sdn Bhd selepas dilancarkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sempena Majlis Pelancaran NAZA E-Bug 2017 hari ini. - Foto BERNAMA

LANGKAWI: Inisiatif menjadikan pulau ini sebagai pulau karbon rendah pertama di negara ini memasuki fasa baharu apabila perkhidmatan kenderaan elektrik dikenali 'E-Bug' akan beroperasi di Jalan Pantai Chenang di sini, awal Ogos ini.

Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat, berkata projek perintis itu bakal dilaksanakan Naza Auto Solutions (Asia) Sdn Bhd (Naza Auto Solutions) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Langkawi.

"Ini adalah projek kedua dalam inisiatif mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke udara di pulau ini selepas projek penggunaan teksi elektrik yang kini di peringkat perolehan aset dengan dana sebanyak RM3 juta.

"Perkhidmatan E-Bug untuk membawa pelancong sekitar Pantai Chenang ini bakal menjadi tarikan baharu kepada pengunjung ke pulau ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Muafakat Aidilfitri Langkawi (MRTMAL) di Dataran Pekan Rabu di sini.

Sementara itu, Pengurus Besar Naza Auto Solutions, Arif Mohd Rashid, berkata projek perintis itu membabitkan jarak perjalanan antara Laman Padi ke Holiday Villa Beach Resort & Spa Langkawi membabitkan jarak sejauh 2.4 kilometer.

"Buat permulaan kami akan menempatkan dua unit E-Bug model NZ14 yang diimport dari Guangzhou, China dengan setiap satu berkapasiti 14 tempat duduk serta berharga lebih RM50,000.

"Kami turut menempah dua lagi unit E-Bug tetapi berlainan model dalam usaha memenuhi permintaan orang ramai sejurus perkhidmatan itu diperkenalkan kelak," katanya.

Arif berkata, E-Bug dijanakan menerusi penggunaan 12 unit bateri berkuasa enam volt dengan kelajuan maksimum 28 kilometer sejam.

Terdahulu, majlis memperkenalkan E-Bug kepada orang ramai disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sempena majlis rumah terbuka itu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan ADUN Kuah, Nor Saidi Nanyan.

Berita Harian X