Selasa, 11 Julai 2017 | 5:28pm

Kes denggi di Perak meningkat


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon. - Foto NSTP/Muhaizan Yahya

IPOH: Sebanyak 4,156 kes denggi dilaporkan di Perak sepanjang tahun ini sehingga Sabtu lalu, meningkat hampir sekali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kes direkodkan sepanjang tempoh berkenaan tahun lalu hanya 2,260 kes.

"Bagi tahun ini, terdapat lapan kes kematian akibat denggi berbanding tujuh kes kematian sepanjang tempoh sama tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ops X Aedes yan turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Hassan Merican, di sini hari ini.

Dr Mah berkata, berikutan masalah itu kerajaan negeri bercadang mewujudkan 'Piala Perak Yang Bersih' dan pertandingan kebersihan berbentuk 'explorace' secara besar-besaran sebagai inisiatif meningkatkan kebersihan sekali gus mengurangkan kes demam denggi, selepas beberapa program dan tindakan berkaitan kebersihan sebelum ini hanya dipandang ringan oleh komuniti.

"Kita melihat kesedaran dan sikap komuniti terhadap kebersihan masih di tahap rendah, setiap kali program gotong-royong dijalankan ia hanya disertai oleh pegawai (Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Kesihatan) dan kurang pembabitan daripada penduduk setempat.

"Justeru, kerajaan negeri sedang berbincang dan membuat kajian berkaitan cadangan bagi menganjurkan pertandingan kebersihan secara besar-besaran berserta piala bagi menarik minat semua peringkat secara lebih efektif dan berkesan," katanya.

Dr Mah berkata, nama 'Piala Perak Yang Bersih' sesuai dengan tema kempen Perak Yang Bersih dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebelum ini.

Katanya, program itu disasarkan disertai komuniti dan akan membabitkan setiap peringkat termasuk PBT dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Berita Harian X