Selasa, 11 Julai 2017 | 11:13am

Azman dilantik Ketua JSJ Johor


Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd (tengah) menyaksikan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kiri) menyerahkan dokumen kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob (kanan) ketika Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor di Dewan Dato Onn, IPK Johor. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Bekas Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor yang baharu.

Beliau dinaikkan pangkat kepada Senior Asisten Komisioner dan mengambil tugas itu daripada Datuk Kamarul Zaman Mamat yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pelucuthakan/Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas diadakan di Dewan Dato' Onn Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini, dengan disaksikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Azman berkata, beliau amat menghargai kepercayaan yang diberikan pucuk pimpinan untuk menggalas tanggungjawab baharu itu.

"Pengalaman selama hampir 28 tahun dalam pasukan polis akan saya gunakan sepenuhnya khususnya untuk memerangi jenayah di negeri ini.

"Pada masa sama, inisiatif yang dilakukan sebelum ini iaitu penugasan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berpakaian Men In Black (MIB) akan diteruskan kerana terbukti keberkesanannya dalam mencegah jenayah di pelbagai kawasan selain turut mendapat sokongan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman dalam ucapannya berkata, sepanjang hampir dua tahun bertugas di IPK Johor sejak tahun 2015, beliau mendapat sokongan serta kerjasama padu daripada semua pegawai serta anggota.

"Pada masa sama, saya juga amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan untuk mengalas tanggungjawab baharu di Bukit Aman.

"Saya juga amat menghargai peranan media massa yang banyak melaporkan kejayaan polis dalam memerangi kadar jenayah di Johor," katanya.

61 dibaca
Berita Harian X