Selasa, 11 Julai 2017 | 6:57am

Nadal tumbang, Murray, Federer ke suku akhir


PEMAIN Britain, Andy Murray. - Foto EPA

LONDON: Impian pemain pilihan keempat, Rafael Nadal untuk mengejar mahkota ketiga Wimbledon musnah apabila tewas 6-3, 6-4, 3-6, 4-6, 15-13 kepada pemain Luxembourg, Gilles Muller di pusingan keempat, awal pagi tadi.

Nadal, bertarung selepas ketinggalan dua set dan menyelamatkan empat mata penamat dalam pertarungan lima set selama 135 minit tetapi akhirnya mengalah selepas tekanan berterusan Muller.

Pilihan utama, Andy Murray dan pilihan ketiga, Roger Federer kedua-duanya mara ke suku akhir dengan kemenangan straight set, manakala naib juara tahun lalu, Milos Raonic dipaksa bekerja keras oleh pemain Jerman, Alexander Zverev sebelum menang 4-6, 7-5, 4-6, 7-5, 6-1.

Pemain dengan servis kencang Republik Czech, Tomas Berdych juga dipaksa beraksi hingga lima set oleh pemain Austria, Dominic Thiem dan akan menanti sama ada Novak Djokovic atau pemain Perancis, Adrian Mannarino di suku akhir.

Dalam undian wanita, Johanna Konta menewaskan Caroline Garcia dari Perancis 7-6(3), 4-6, 6-4 untuk bergelar wanita British pertama mara ke suku akhir Wimbledon sejak Jo Durie pada 1984.

Kesedihan melanda pilihan utama wanita, Angelique Kerber, yang disingkirkan pemain Sepanyol, Garbine Muguruza, manakala pemain Latvia, Jelena Ostapenko mengatasi Elina Svitolina untuk mara ke suku akhir buat kali pertama.

Pemain Denmark, Caroline Wozniacki, pilihan kelima tahun ini tersingkir di tangan pemain pilihan ke-24 Amerika Syarikat Coco Vandeweghe.

Manakala pemain Russia, Svetlana Kuznetsova kembali ke suku akhir selepas 10 tahun apabila menewaskan pemain Poland yang juga pilihan kesembilan Agnieszka Radwanska.

Pemain veteran, Venus Williams mengatasi pemain Croatia, Ana Konjuh 6-3 6-2, namun harapan ibu baharu Victoria Azarenka untuk melakukan kebangkita semula apabila tewas kepada pilihan kedua, Simona Halep 7-6(3) 6-2. - Reuters

Berita Harian X