Isnin, 10 Julai 2017 | 11:35pm

Penyu mudah jinak ATM


PEMAIN Terengganu, Gabriel Davis Dos Santos diasak pemain ATM, Suhairy Johari (kanan) pada aksi perlawanan Liga Perdana Terengganu Lawan ATM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Terengganu dipaksa bekerja keras sebelum mengatasi pasukan tercorot, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.

Skuad The Gladiator yang turun sebagai tuan rumah hampir di depan menerusi rembatan leret Venice Elphi Danny Kaya, namun diselamatkan penjaga gawang, Mohd Suffian Abd Rahman seawal minit kedua.

Peluang terbaik Terengganu hadir menerusi rembatan Issey Nakajima Farran yang terkena palang, disusuli tandukan Mohd Ridzuan Abdunloh pula melepasi palang minit ke-9.

Pada minit ke-24, tandukan pertahanan, Nasrullah Haniff Johan pula tepat ke dakapan penjaga gol ATM hasil sepakan sudut disempurnakan oleh Mohd Ridzuan.

Seminit selepas itu, sepakan lambung penyerang import skuad Penyu, Kipre Tchetche berjaya ditepis keluar penjaga gol ATM, Mohd Hafizuddin Azuhar.

Gawang tuan rumah akhirnya tewas menerusi tandukan ketua pasukan Terengganu, Lazaro Vinicius berpunca sepakan sudut Mohd Ridzuan minit ke-38.

Bersambung babak kedua, pelawat hampir menggandakan jaringan, namun tandukan Nasrullah Haniff terkena palang minit ke-64.

Tuan rumah yang mengasak kubu pelawat mencari gol penyamaan buntu apabila mudah dipatahkan benteng pertahanan pelawat diketuai Vinicius.

Terengganu yang dihadiahkan sepakan percuma berjaya disempurnakan dengan jaringan cantik awang import kelahiran Brazil, Gabriel Dos Santos pada masa kecederaan.

Berita Harian X