Isnin, 10 Julai 2017 | 11:21pm

Keluarga besar Haji Toha berkumpul sempena Aidilfitri


SEBAHAGIAN ahli keluarga Haji Toha bergambar beramai-ramai pada Majlis Aidilfitri Yayasan Haji Toha di kediaman seorang ahli keluarga mereka di Tebuk Pulai, Sabak Bernam. - Foto Mohd Shukor Amin

SABAK BERNAM: Syawal yang sudah masuk minggu ketiga terus diraikan dengan perhimpunan kira-kira 250 ahli keluarga Haji Toha Yusof bagi meraikan Aidilfitri di kediaman seorang daripada ahli keluarga mereka di Kampung Tebuk Pulai, Sabak Bernam, hari ini.

Lebih mengujakan, majlis itu adalah kali ke-15 penganjurannya sejak Yayasan Haji Toha ditubuhkan lebih 16 tahun lalu.

Setiausahanya, Mohd Taufik Zawawi berkata, empat generasi Haji Toha kini menetap di serata tanah air.

"Ahli keluarga kami menetap di beberapa negeri, antaranya di Selangor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, dalam majlis itu, pihak yayasan keluarga berkenaan turut menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga yang layak menunaikan ibadah haji.

"Kita turut menyampaikan pemberian sagu hati kepada ahli keluarga yang berjaya menyambung pengajian di universiti awam atau di pusat pengajian tinggi swasta," katanya.

Mohd Taufik berkata, bagi memeriahkan Aidilfitri, pihaknya turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak.

Katanya, tujuan utama perjumpaan keluarga itu adalah untuk bersua muka sekurang-kurangnya setahun sekali.

"Program ini juga dapat mengeratkan ukhuwah menerusi kerjasama untuk menjayakan sambutan majlis ini," katanya.

Berita Harian X