Isnin, 10 Julai 2017 | 7:27pm

Harga getah ditutup rendah seiring pasaran Tokyo


- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia ditutup rendah seiring dengan penurunan pada penanda aras pasaran niaga hadapan getah serantau serta kejatuhan harga minyak, kata seorang peniaga.

Beliau berkata, pasaran niaga hadapan Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) turun hari ini selepas pelabur menjual pegangan jangka panjang mereka selepas harga minyak jatuh dengan ketara pada Jumaat lepas.

Inventori getah Jepun di gudang TOCOM setakat 30 Jun berjumlah 2,804 tan metrik, naik daripada 2,251 tan metrik pada 10 hari lalu tetapi masih di bawah 8,094 tan metrik yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, kata peniaga itu.

Sementara itu, harga minyak dunia turun hampir tiga peratus ketika ditutup pada Jumaat, berikutan kenaikan pengeluaran Amerika Syarikat, katanya.

Pada tengah hari, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 4.5 sen kepada RM6.17 sekilogram daripada RM6.215 sekilogram pada Jumaat lalu, manakala susu getah pukal turun 9.5 sen kepada RM5.11 sekilogram daripada RM5.205 sekilogram sebelumnya

Harga akhir tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 susut 11 sen kepada RM6.185 sekilogram daripada RM.6295 sekilogram manakala susu getah pukal merosot 3.5 sen kepada RM5.005 sekilogram daripada RM5.040 sekilogram pada Jumaat lepas. - BERNAMA

Berita Harian X