Ahad, 18 Januari 2015 | 6:36pm
SEORANG mangsa banjir melihat rumahnya yang ranap akibat bencana banjir yang melanda bahagian pantai timur baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Bantuan banjir disalur berdasarkan senarai nama daripada ketua jajahan

KOTA BHARU: Semua bentuk bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) kepada mangsa banjir adalah berdasarkan senarai nama yang disahkan oleh ketua jajahan masing-masing. Setiausaha MAIK, Mohd Azri Abd Rahman, berkata orang ramai tidak perlu datang ke pejabat Maik untuk mengambil serta mengisi borang pendaftaran bantuan mangsa banjir.

"Pihak MAIK tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mangsa banjir perlu datang mengambil borang sebelum menerima bantuan," katanya pada sidang akhbar bagi menjelaskan perkara berkenaan di Kompleks Balai Islam Lundang di sini, hari ini.

Sebelum ini, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Fa-Iz Petra ibni Sultan Ismail Petra yang juga Yang Dipertua Maik bertitah sebanyak RM32 juta diperuntukkan bagi membantu mangsa banjir di negeri ini. Bantuan yang disediakan termasuk bantuan 'one-off' sebanyak RM10 juta, membina dan membaiki rumah RM12 juta, perubatan RM2 juta, tabung bencana negeri RM2 juta, membaiki masjid RM5 juta dan perbelanjaan pelbagai sebanyak RM1 juta.

Mohd Azri berkata, orang ramai perlu melayari portal rasmi Maik iaitu www.e-maik.my untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pengagihan bantuan kepada mangsa banjir.

"Orang ramai jangan percaya maklumat menerusi laman sosial Facebook ataupun aplikasi WhatsApp kerana ia bukan dikendalikan oleh pihak kami," katanya.

Sebelum ini, terdapat mesej menerusi aplikasi WhatApps serta laman sosial Facebook yang kononnya mengatakan mana-mana keluarga yang terbabit dengan banjir, rumah ditenggelami banjir boleh datang ke pejabat MAIK untuk mengambil bantuan serta borang.

- BERNAMA

41 dibaca
Berita Harian X