Isnin, 10 Julai 2017 | 4:59pm

Pemandu maut kereta dirempuh treler

MELAKA: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah treler di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran lampu isyarat Bukit Piatu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, Lim Boon Thong, 50, mati di tempat kejadian akibat tersepit dalam remukan kereta PROTON Waja dipandunya.

Bagaimanapun, pemandu treler berkenaan dipercayai meninggalkan lokasi selepas kejadian kerana khuatir dibelasah orang ramai, sebelum membuat laporan polis jam 2.30 petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata kemalangan berlaku apabila treler terbabit dari lampu isyarat Semabok dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kereta berkenaan yang menghala ke Bukit Baru.

"Akibat rempuhan itu, kereta berkenaan remuk di bahagian depan dan kanan.

"Kedua-dua kenderaan kini ditahan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan II Shaharuddin Abd Razak, berkata seramai enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan jam 2.48 pagi.

Berita Harian X