Isnin, 10 Julai 2017 | 3:12pm

Kadar jenayah Johor turun 10 peratus


KETUA Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. - Foto Hairul Anuar Rahim

MUAR: Kadar indeks jenayah di Johor tahun ini menurun hampir 10 peratus dari Januari hingga semalam berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perkembangan itu adalah susulan pelbagai langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor dalam membanteras pelbagai kegiatan jenayah di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata pihaknya optimis kadar jenayah dapat terus diturunkan berikutan usaha menyeluruh semua ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negeri ini.

"Sehingga hari ini, kadar jenayah di Johor menurun 9.56 peratus berbanding tahun lalu. Antara jenayah yang menunjukkan penurunan ketara ialah kes curi motosikal, samun jalanan dan pecah rumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Muar dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Diraja Malaysia (PERKEP) Daerah Muar di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Wan Ahmad Najmuddin menyaksikan majlis serah tugas antara bekas Ketua Polis Daerah Muar yang kini memegang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob kepada Ketua Polis Daerah Muar yang baharu, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip.

Sementara itu, Zaharudin akan menggunakan pengalaman 22 tahun dalam perkhidmatan polis bagi melaksanakan tugas baharu di IPD Muar dan menyambung legasi serta kejayaan sebelum ini.

Zaharudin sebelum ini bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Tumpat, Kelantan dan turut mempunyai kepakaran dalam bidang forensik, tulisan tangan serta mata wang.

18 dibaca
Berita Harian X