Isnin, 10 Julai 2017 | 2:51pm

Operasi kilang cemar alam sekitar digantung


GAMBAR fail, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Lesen kilang kelapa sawit di Jementah, Segamat, digantung sehingga kerja penambahbaikan dijalankan sepenuhnya bagi memastikan mematuhi peraturan dan tidak mencemar alam sekitar.

EXCO Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengeluarkan notis penggantungan lesen sejak 15 Mei lalu dan kilang terbabit perlu menjalankan kerja penambahbaikan sebelum boleh beroperasi.

Katanya, pihak kilang juga sudah mengemukakan maklum balas bagi tindakan yang sedang dan akan dijalankan bagi mengawal serta menghapus bau busuk dari efluen sedia ada di dalam kolam, selain mengawal pelepasan bau busuk pada jangka masa panjang.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap kilang terbabit yang didapati menyebabkan pencemaran alam sekitar.

"Hasil pemantauan JAS Johor pada Khamis lalu mendapati premis tidak menjalankan apa-apa aktiviti memproses buah sawit, sebaliknya hanya kerja tindakan pembaikan bagi sistem pengolahan efluen sahaja yang dilakukan oleh pihak kilang.

"(Mengenai) Isu semasa bantahan penduduk pada Sabtu lalu, JAS Johor sudah menggantung lesen beroperasi bermula 15 Mei sehingga 30 Jun lalu dan lesen untuk beroperasi juga tidak di keluarkan mulai 1 Julai sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ayub berkata, tindakan JAS mengeluarkan notis penggantungan lesen pada Mei lalu bertujuan memastikan kerja penambahbaikan sistem pengolahan efluen dibina dengan sempurna seterusnya mengawal pelepasan bau busuk ke persekitaran.

"Kerajaan negeri mengambil serius tuduhan berbohong ini dan berharap pihak premis bertanggungjawab terhadap kesan dan akibat operasi mereka yang menyebabkan ketidakselesaan penduduk setempat," katanya.

Ayub berkata, permohonan pembaharuan lesen dan rayuan penggantungan lesen tidak akan dipertimbangkan sehingga semua kerja penambahbaikan bagi sistem pengolahan efluen dibina dengan sempurna bagi mengawal pelepasan bau busuk ke persekitaran dengan keperluan mendapatkan semua kelulusan dari agensi teknikal yang berkaitan.

Sehubungan beliau berkata, berdasarkan kepada kronologi dan urutan peristiwa dan tindakan tindakan dari JAS Johor, kerajaan negeri kecewa dengan viral media sosial pemimpin pakatan rakyat yang mengelirukan rakyat Johor terutamanya penduduk Jementah.

29 dibaca
Berita Harian X