Isnin, 10 Julai 2017 | 2:41pm

SAJ pasang penapis karbon di LRA Simpang Renggam


Timbalan Ketua Menteri, Datuk Douglas Uggah Embas meninjau persiapan menghadapi kebakaran tanah gambut di Tudan, utara Sarawak. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: SAJ Ranhill Sdn Bhd mengambil langkah proaktif dengan memasang alat penapis karbon sebagai langkah mengatasi masalah limpahan air larutan resapan (leachate) di Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Rengam, Kluang dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Faizal Abd Rahman, berkata kerja pemasangan alat penapis berkenaan yang membabitkan kos kira-kira RM300,000 sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya esok.

"Sebelum ini, LRA Simpang Renggam terpaksa ditutup beberapa kali operasinya disebabkan berlaku pencemaran air di Sungai Benut akibat limpahan air larutan resapan sekali gus meningkatkan kandungan amonia dalam air.

"Bagaimanapun, masalah ini sudah selesai dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut membuat pemantauan serta pemeriksaan, namun kita mengambil langkah proaktif dengan memasang penapis itu di loji berkenaan.

"Dengan adanya penapis ini yang mampu bertahan sehingga lapan tahun,  ia berperanan merawat dan seterusnya mengurangkan kandungan amonia dalam air," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SAJ di sini, hari ini. Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Selasa lalu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri, berkata limpahan air larutan resapan berpunca daripada benteng tapak pelupusan sampah Ladang CEP, Renggam, yang pecah menjadi penyebab utama berlakunya pencemaran air di Sungai Benut.

Ia sekali gus meningkatkan kandungan amonia dalam air mentah di LRA Simpang Renggam, pada hari raya kelima sehingga menyebabkannya terpaksa menghentikan operasi memproses air mentah untuk kegunaan penduduk di Simpang Renggam.

Limpahan air larutan resapan itu berlaku berikutan benteng pemisah di tapak pelupusan sampah berkenaan pecah sebelum ia mengalir ke dalam Sungai Benut.

Berita Harian X