Isnin, 10 Julai 2017 | 1:21pm

MAB mampu penuhi piawaian Skytrax: PM


DATUK Seri Najib Razak (lapan dari kanan) selepas melancarkan logo 'NEGARAKU' pada pesawat Boeing 737-800 milik Malaysia Airlines, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Hadir sama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew (tujuh dari kanan). - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Datuk Seri Najib Razak yakin Malaysia Airlines Berhad (MAB) mampu mencapai penarafan lima bintang Skytrax menjelang 2018, berdasarkan pelan pemulihan syarikat itu yang lancar mengikut jadual.

Perdana Menteri berkata, fasa pertama pelan pemulihan iaitu menstabilkan kewangan MAB sudah dicapai.

Katanya, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew, menjangkakan keadaan kewangan MAB lebih baik tahun depan.

"Tumpuan kini adalah fasa kedua termasuk penambahan 11 laluan baharu dari China, selain melihat kepada perbezaan produk seperti hidangan dan hiburan dalam penerbangan serta kualiti pesawat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Raya Malaysia Aviation Group (MAG) di sini, hari ini.

Skytrax adalah sistem penarafan penerbangan global bagi produk dan perkhidmatan, keselamatan, selain turut menjadi penanda aras untuk piawaian penerbangan.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan logo 'Negaraku' pada pesawat 737-800 milik MAB sebagai sebahagian daripada inisiatif Negaraku yang diumumkan MAB pada Mei lalu.

Antara lain, ia bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Bellew berkata, selain pesawat B737-800, MAG juga akan memaparkan logo Negaraku pada badan pesawat ATR-72-500 bersama MASwings dan Firefly serta pesawat Airbus baharu A350 akhir tahun ini.

"Sebagai keluarga Malaysia Airlines, kami bekerja keras membina semula syarikat penerbangan ini, sekali gus menjadikannya kebanggaan negara.

"Sebagai syarikat penerbangan nasional, kami amat berbangga membawa logo Negaraku ke seluruh dunia bagi pihak setiap rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X