Isnin, 10 Julai 2017 | 12:21pm

Guna helikopter selamatkan pendaki melecur

KUALA TERENGGANU: Bomba akan menggunakan helikopter untuk membawa turun pendaki yang melecur di puncak Gunung Lasir Chemerung, Hulu Dungun.

Pengarah Bomba negeri, Azlimin Mat Noor, berkata pihaknya sudah meminta bantuan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui penerbangan ihsan untuk mengambil mangsa berusia 34 tahun yang melecur selepas balang gas meletup ketika dia sedang memasak petang semalam.

"Keadaan mangsa kini dilaporkan stabil selepas rawatan kecemasan diberikan pegawai dan anggota bomba Unit Storm dari Balai Bomba dan Penyelamat Kertih dan Al Muktaffi Billah Shah (AMBS)," katanya kepada BH ketika dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, mangsa bersama 34 rakannya dikatakan ke Gunung Lasir Chemerong, Hulu Dungun untuk melakukan aktiviti perkhemahan.

Azlimin berkata, JBPM negeri yang menerima maklumat mengenai kejadian, menghantar sembilan anggota termasuk tiga pegawai daripada Unit Storm ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja menyelamat.

"Kita terpaksa meminta bantuan helikopter untuk menurunkan mangsa selepas pegawai dan anggota yang berada di lokasi kejadian memaklumkan usaha untuk menurunkan mangsa akan mengambil masa lebih lapan jam," katanya.

Berita Harian X