Isnin, 10 Julai 2017 | 11:03am

PPM tahan 17 PATI Indonesia


SEBAHAGIAN daripada PATI warga Indonesia ditahan PPM Wilayah Dua Johor di kawasan hutan pesisir pantai Sungai Tengah, Bandar Penawar, Kota Tinggi awal pagi tadi. Pix Ihsan Polis Marin

KOTA TINGGI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menahan 17 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia ketika bersembunyi dalam hutan untuk menyusup keluar dari negara ini, di pantai Sungai Tengah, Bandar Penawar di sini, awal pagi tadi.

Seramai 12 lelaki dan lima wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan Ops Landai yang dijalankan anggota PPM Pengerang antara jam 1 hingga 2 pagi tadi.

Sebahagian PATI itu dikatakan sudah dua hari bersembunyi dalam hutan terbabit untuk menunggu bot pancung yang akan membawa mereka pulang ke Indonesia.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, berkata mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri selain berada di negara ini melebihi tempoh masa dibenarkan.

"Hasil siasatan dijalankan mendapati ada antara mereka memaklumkan sudah dua hari berada di kawasan hutan berkenaan menunggu kehadiran bot pancung untuk pulang ke Indonesia," katanya dalam kenyataan di sini.

Khon Chiang berkata, semua mereka yang ditahan turut dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar di sini, untuk siasatan selanjutnya. 

Berita Harian X