Ahad, 18 Januari 2015 | 5:59pm

Laporan kes pembalakan haram sentiasa disiasat - SPRM

KOTA BHARU: Semua laporan berkaitan kes pembalakan haram yang berlaku di seluruh negara sentiasa disiasat dan akan diambil tindakan sewajarnya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata kegiatan pembalakan haram telah menjejaskan alam sekitar sehingga menyebabkan berlaku banjir buruk baru-baru ini.

"Semua laporan kami siasat dan siasatan dilakukan dari semasa ke semasa di semua negeri yang ada laporan tentang pembalakan haram," katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks SPRM Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata SPRM mempunyai beberapa kaedah siasatan melibatkan aktiviti pembalakan itu.

"Kami akan siasat dan bawa ke mahkamah jika ada keterangan, tetapi kalau keterangan tidak cukup, kami akan kaji sistem dan prosedur yang digunakan.

"Jika ia didapati ada keperluan untuk diubah, maka kami mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya perubahan dasar dilakukan," katanya.

Mengenai usaha melicinkan proses pemberian bantuan kepada mangsa banjir atau mengekang penyelewengan, Abu Kassim berkata mana-mana pihak atau individu yang berminat boleh membantu pihaknya dengan menjadi sukarelawan untuk menyalurkan maklumat.

"Jumlah kami tak ramai jadi kami perlu sukarelawan, jadi jika ada sukarelawan yang ingin membantu SPRM, kami jemput daftarkan diri dan kami akan beri taklimat.

"Kami akan buat tapisan dan prasyarat adalah mereka tidak boleh isytihar mereka daripada SPRM kerana mereka hanya bertindak sebagai pemberi maklumat yang tidak menzahirkan identiti mereka kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata SPRM menerima 45 panggilan daripada orang awam berkenaan isu berkaitan banjir di seluruh negara selepas Jawatankuasa Integriti Pengurusan Dana dan Tabung Banjir ditubuhkan baru-baru ini.

"Sebanyak 36 panggilan yang diterima adalah pertanyaan umum tentang bantuan banjir dan bakinya adalah aduan tidak puas hati kerana tidak mendapat bantuan," katanya.

Abu Kassim berkata semua pihak juga dinasihati untuk tidak menggunakan sentimen politik ketika melakukan proses pemberian bantuan kepada mangsa banjir.

Katanya orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang tuntutan palsu kerana tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 sekiranya didapati bersalah. - BERNAMA

21 dibaca
Berita Harian X