Ahad, 9 Julai 2017 | 7:40pm

Budu, tempoyak di Arab Saudi


Kedai Asia adalah runcit pertama berkonsepkan Malaysia sepenuhnya di Arab Saudi.

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi kini boleh mendapatkan barangan makanan dan minuman jenama tempatan di kedai runcit pertama berkonsepkan Malaysia sepenuhnya di negara itu, Kedai Asia.

Kedai Asia ditubuhkan bersama oleh syarikat tempatan, Husam Waksa Sdn Bhd dan pengimport dari Arab Saudi, M Nazeyh Garah Est.

Ia mula beroperasi awal tahun ini bagi memenuhi permintaan tinggi produk jenama tempatan dalam kalangan rakyat Malaysia di Arab Saudi.

Terletak di kejiranan Jeddah Al Aziziyah tidak jauh dari Konsulat Malaysia di Arab Saudi, Kedai Asia menawarkan lebih 300 produk makanan dan minuman jenama tempatan seperti Adabi, Yeo's, Kipas Udang, Boh Tea dan Life.

Selain jenama makanan terkenal, ia turut menjual produk asli tradisional Melayu seperti budu, tempoyak, cencalok, pekasam dan belacan.

Pengarah Pemasaran Kedai Asia, Anas Atarek Kamil, berkata Jeddah dipilih sebagai lokasi francais pertama Kedai Asia di Arab Saudi.

"Cawangan pertama di Jeddah akan disusuli beberapa lokasi dirancang di bandar raya utama Asia Barat termasuk Madinah, Riyadh dan berkemungkinan Jubail dalam masa terdekat.

"Sejak dibuka, Kedai Asia menerima lebih daripada 2,000 pengunjung, sekali gus mengatasi jangkaan setakat ini. Kami menerima banyak maklum balas positif dengan ada sebahagian yang berkata Kedai Asia seolah-oleh membawa mereka berada di Malaysia," katanya dalam satu e-mel kepada BH.

Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia, Konsulat Malaysia di Jeddah, Khairul Annuar Abdul Halim, berkata usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia boleh menjadikan Kedai Asia sebagai peluang untuk memasuki pasaran halal Arab Saudi.

Pada masa sama, katanya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut menyokong inisiatif sedemikian bagi membolehkan usahawan muda tempatan mengembangkan perniagaan ke luar negara.

"Kedai Asia adalah pencapaian baharu yang boleh dibanggakan selepas tahun kelapan kehadiran MATRADE di Arab Saudi.

"Kedai ini bukan hanya menjual eksport Malaysia, namun memberi pelbagai impak terhadap penjenamaan Malaysia dan menambah nilai pelancongan negara menerusi promosi produk makanan tempatan," katanya.

Penghantaran produk susulan dari Malaysia terus dilakukan kerana kedai menerima sambutan hebat rakyat Malaysia yang tinggal di Jeddah, penduduk Arab Saudi dan warga negara lain yang mengunjunginya sejak hari pertama dibuka.

Kedai Asia dibuka dari 9 pagi hingga 11 malam pada Sabtu hingga Khamis dan 2 petang hingga 11 malam pada Jumaat.

Ia ditutup selama 15 minit pada setiap waktu solat bagi mematuhi peraturan aktiviti komersial Kerajaan Tempatan Arab Saudi.

INFO

* Kedai Asia memberi manfaat kepada 50 syarikat tempatan

* Senarai produk terdiri daripada 500 unit simpanan stok (SKU)

* 135 SKU adalah produk keluaran PKS Bumiputera dari seluruh Malaysia

12 dibaca
Berita Harian X