Ahad, 9 Julai 2017 | 2:33pm

Jururawat cemas bom dalam kereta


TUJUH orang awam, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh apabila bom kereta meletup berhampiran pusat pemeriksaan tentera di Sinai Utara.- Foto Fail AFP

KLANG: Seorang jururawat berdepan detik cemas selepas bom buatan sendiri ditemui di keretanya di Taman Damai, Kapar, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku pada jam 10 malam ketika mangsa berusia 27 tahun itu sedang memandu pulang ke rumah, sebelum memberhentikan kereta di rumah bapa saudaranya selepas mendengar bunyi mencurigakan di bahagian belakang kenderaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pemeriksaan bapa saudaranya kemudian menemui sejenis objek yang diubah suai seperti bahan letupan dilekat di bumper kereta mangsa.

"Sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) IPK Selangor dihantar ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan. Hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan adalah peranti letupan atau Improvised Explosive Device (IED).

"IED ini boleh menyebabkan berlakunya letupan kecil dan mungkin boleh meragut nyawa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Fadzil berkata, IED itu dimusnahkan di padang bola bersebelahan Balai Polis Kapar dengan menggunakan robot pemusnah bom pada jam 2.30 pagi tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Letupan 1957.

Berita Harian X