Ahad, 9 Julai 2017 | 12:24pm

Erdogan tak benarkan penubuhan negara Kurdis

RECEP Tayyip Erdogan berucap pada Sidang Kemuncak G20 di Hamburg. - Foto EPA

HAMBURG: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan tidak akan membenarkan penubuhan negara Kurdis di Syria berhampiran sempadannya dan memberi amaran jika diancam, Ankara tidak teragak-agak menggunakan haknya untuk mempertahankan diri.

"Kami tidak akan terus berdiam diri atau tidak membalas tindakan menyokong atau membekalkan senjata kepada kumpulan pengganas serta pembentukan negara pengganas bersebelahan sempadan kami," kata Erdogan dalam ucapan penutupannya pada Sidang Kemuncak G20 di sini.

Katanya, Turki tidak akan teragak-agak untuk menggunakan hak mutlak demi mempertahankan diri daripada pembentukan yang boleh mengancam keselamatan negara terbabit.

Ankara menganggap Unit Pertahanan Rakyat Kurdis (YPG) yang berperang di Syria adalah kumpulan pengganas dan cawangan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan, melancarkan pemberontakan terhadap Turki sejak 1984.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) menganggap YPG sebagai kumpulan darat yang berkesan untuk menentang militan Daesh dan ia secara terangan menyalurkan bantuan ketenteraan untuk mengejutkan negara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Turki bimbang pembentukan negara Kurdis di utara Syria mampu menggalakkan perpecahan dalam kalangan etnik Kurdis di negara itu.

Erdogan berkata, Turki 'tidak akan membenarkan' negara Kurdis di utara Syria. - AFP

Berita Harian X