Sabtu, 8 Julai 2017 | 3:45pm

Peranan KEMAS seiring aspirasi TN50


IDRIS (dua dari kiri) menyampaikan anugerah khas kepada Zubaidah Mahat, 42, (dua dari kanan) sambil diperhatikan Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Amiruddin Ariffin (tengah) dan Pengarah KEMAS negeri, Abdul Rahim Omar Baki (kiri) pada sambutan Hari Pendidik KEMAS Negeri Melaka 2017 di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Udang, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terus menjadi agensi penyambung nilai murni kemasyarakatan, selain telus dalam berperanan sebagai mata, telinga dan lidah kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata peranan penting agensi berkenaan terutama dalam membentuk pola pemikiran masyarakat dilihat seiring aspirasi kerajaan dalam menjayakan agenda Transformasi Negara 2050 (TN50).

"KEMAS terus menjadi sebuah komponen yang bukan sahaja berperanan di peringkat dewasa tetapi berupaya membentuk nilai murni sepanjang proses pembesaran kanak-kanak.

"Sudah tiba masanya KEMAS diberi perhatian kerana peranannya dalam menerima maklum balas tepat di peringkat akar umbi. Ia seterusnya menjadi menyambung kepada kerajaan sebagaimana peranan agensi strategik lain seperti Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pendidik KEMAS Negeri Melaka 2017 di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Udang, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Amiruddin Ariffin dan Pengarah KEMAS negeri, Abdul Rahim Omar Baki.

Pada majlis itu, kira-kira 600 kakitangan KEMAS daripada pelbagai peringkat dan agensi diraikan termasuk 67 penerima Anugerah Khas KEMAS, Anugerah Perkhidmatan Setia KEMAS dan Anugerah Pendidik KEMAS.

Berita Harian X